MEMULAKAN langkah dalam bidang seni sebagai penyanyi pada awalnya, siapa sangka dia kini lebih selesa untuk bergelar seorang pelakon. Bagaimanapun sama seperti kerjaya nyanyian, dunia lakonannya juga masih belum menjanjikan apa-apa. Tidak tersinggung untuk mengaku dia masih dalam tempoh mencuba, kata Wanna Ali, dengan umurnya yang baharu menjangkau 23 tahun dia tidak pernah terlewat untuk terus mencari peluang.
“Bila ada yang mempertikaikan populariti saya dalam bidang seni, perkara itu tidak pernah membuatkan saya tersinggung. Memang saya memulakan langkah dalam bidang nyanyian lapan tahun lalu dan hanya tiga tahun lalu saya aktif dalam bidang lakonan. Bagi saya dalam soal ini semuanya bergantung kepada masa dan nasib.
“Saya memang mahu diterima kerana bakat, walaupun proses itu lambat tidak mengapa sebab dalam masa yang ilmu yang saya terima itu lebih mahal untuk bertahan dalam bidang ini,” katanya yang bakal muncul melalui drama 70 episod Angkara Cinta tidak lama lagi.
Merupakan anak kepada penerbit terkenal Datuk Normashayu Puteh, bukan perkara baharu untuk Wanna berdepan dengan kata-kata menjatuhkan sesetengah pihak. Didakwa menjadikan ibunya sebagai tiket ekspres untuk berada dalam dunia lakonan, kata Wanna, bukan semua yang dilihat dengan mata kasar itu adalah jawapan kepada penerimaan orang.
“Saya tidak nafikan pada awalnya memang saya banyak berlakon dengan produksi ibu, namun lama kelamaan saya tidak lagi bergantung dengan kenyataan saya seorang anak penerbit. Sebab dalam waktu sama saya perlu berkembang dan cari ruang untuk melaluinya sendiri.
“Sehingga kini kalau ikutkan saya lebih banyak menerima tawaran dari produksi luar. Rata-rata mereka mengenali saya melalui lakonan. Menerima peluang seperti ini sedikit sebanyak membuktikan apa yang orang di luar sana fikir itu tidak benar sebab saya juga memang melalui waktu yang sukar untuk menempatkan diri,” katanya.
Sementara itu, Jun lalu Wanna sahaja muncul dengan filem Ada Apa Dengan Dosa gandingan bersama PU Riz.
Melihat dunia lakonan sebagai kerjaya utamanya kini, saat ini Wanna atau Nor Syazwana Mohd Ali, 23, juga tidak menolak menyimpan impian bergelar seorang penerbit suatu hari nanti. Meninggal jauh kerjaya nyanyian kini, janji Wanna akan tiba suatu hari nanti dia muncul dengan kejutan.
“Memang terfikir yang suatu hari nanti juga saya mahu bergelar seorang penerbit macam ibu. Dalam adik-beradik yang lain juga memang saya yang cenderung ke arah ini. Cuma pesan ibu, minta saya sentiasa ambil peluang yang ada dan fokus dalam setiap apa yang dilakukan.
“Berkenaan dunia nyanyian pula saya tidak pernah terfikir untuk tinggalkan terus. Sebab sedikit sebanyak itu adalah di mana saya bermula. Memang ada lagi tawaran, cuma mencari lagu yang lebih sesuai dengan umur dan minat saya kini agak sukar,” kata penyanyi Jika Ku Benar ini lagi.










