Punk, reformasi dan randai? - Utusan Malaysia

Punk, reformasi dan randai?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENURUT Kamus Dewan, randai bererti tarian oleh sekumpulan orang. Ia biasanya ditarikan orang yang berdiri melengkung sambil menyanyi dan melakukan aktiviti berkait seni ini.

Dalam konteks teater randai, ia merujuk satu cabang kesenian khas Minangkabau, berupa aksi teater atau sandiwara dengan beberapa unsur seni.

Unsur seni yang terkandung termasuk drama, seni suara, seni tari, seni muzik tradisional malah seni bela diri silat.

RAMZI RAMLI

‘BEKABA’ DAN SILAT DIGABUNG

Ketua Pegawai Kebudayaan dari Pusat Seni Kebudayaan, Universiti Malaya (UM), Ramzi Ramli, 43, yang juga penggiat seni randai tanah air berkata, sumber cerita dalam Randai berasal daripada aktiviti ‘bekaba’.

“Ini merujuk kepada aktiviti orang Minang dulu-dulu yang menitipkan pesan dan kritik sosial secara lisan. Kalau disebut dalam dialek Melayu kita, maksudnya berkhabar atau bercerita.

“ Oleh kerana budaya orang Melayu di Nusantara dahulu kala yang kaya dengan pekerti, malah nampak pula kepentingan agar memantapkan rohani generasi muda, maka tradisi oral ‘bekaba’ ini diselitkan pula unsur silat untuk menarik golongan itu.

“Dari situ, maka terhasil budaya merandai, bererti memberi khabar dan bercerita, sambil dimasukkan juga unsur silat dan tarian tertentu,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

BAGAIMANA RANDAI MASUK KE TANAH MELAYU?

Jelasnya, dahulu tiada istilah negara bangsa dan semua orang Melayu di rumpun ini hidup dalam satu lingkungan zon yang berkongsi ras, bangsa dan ketamadunan yang sama.

“Oleh itu, perhijrahan kerap berlaku dari Sumatera ke Tanah Melayu. Berhijrahnya orang dahulu, membawa bersama adat budaya ke tempat baharu. Ini termasuklah budaya randai,” jelasnya.

Tambahnya, apabila budaya randai diperkenal orang Melayu Minang ke tanah Melayu, ia sekali gus berasimilasi dan mengalami silang budaya dengan ciri tempatan.

“Meskipun dari sudut tradisi, randai boleh dikatakan eksklusif untuk etnik Minang khususnya babitkan alat muziknya, pergerakan silat serta lagu, namun ia berasimilasi dengan ciri tempatan melalui sudut dialek.

“Misalnya, randai di Tanah Melayu mula menggunakan dialek Negeri Sembilan dan apabila era modenisasi menjengah, randai mula gunakan bahasa Melayu baku pula,” terangnya.

RANDAI DAN REFORMASI

Menurut beliau, penglibatannya secara serius dalam bidang ini bermula seawal 1994.

“Pada waktu itu, saya berusia 18 tahun. Sebagai muda belia, saya tercari-cari identiti diri. Mujur Allah SWT temukan saya dengan seorang yang nasionalis. Sahabat itu bertugas di Istana Budaya pada waktu itu dan beliau memperkenalkan saya dengan randai.
“Kemudian pada 1997, sewaktu laungan reformasi menggegar tanah air, dan Malaysia bergema dengan pergerakan menggulingkan pemerintah, saya mendaftar di UM sebagai pelajar,” jelasnya.

Katanya, di kala itu, randai antara tonggak utama yang ‘menyelamatkan’ beliau daripada terpesong menyertai pergerakan regime change tanah air.

“Di UM, saya semakin aktif dalam aktiviti randai secara profesional.

Itu sekali gus membentuk jatidiri saya sebagai seorang nasionalis yang hormat kepada institusi pemerintah Melayu Islam, khususnya institusi Monarki.

“Malah tenaga penggerak serta mentor kami waktu itu, turut merupakan insan-insan nasionalis. Maka randai secara langsung menanam semangat cintakan pertiwi dalam diri ahlinya,” jelasnya lagi.

 

PUNK – VS – ADAT BERSENDI SYARAK, BERPASAK KITABULLAH

Jelasnya, memasuki era pasca moden, iaitu merujuk kepada gelombang globalisasi yang mula menghakis identiti nasionalisme warga muda, randai semakin diterima belia pelbagai latar kaum sebagai teras identiti melambangkan Malaysia.

“Pasca moden ini dirujuk sekitar era 2010 dan ke atas. Mulai itu, saya perasan randai antara benteng yang selamatkan anak belia dari dihanyut arus globalisasi.

“Misalnya pada 2010 saya dan pasukan randai, hadir sebagai tenaga penggerak seni ini ke sebuah institusi seni di Kuala Lumpur. Kami tubuhkan sel randai di sana.

“Di institusi itu, ada seorang pelajarnya menyertai kumpulan randai kami. Waktu dia mula turut serta, dia seorang peminat muzik punk. Bayangkan, dia datang berandai dengan seluar randai, tapi rambutnya ala punk,” jelasnya.

Namun, bertepatan dengan roh randai yang menerapkan semangat cinta identiti secara halus, maka katanya, semua guru randai dalam kumpulan itu langsung tidak menegur gaya dan pembawaan pelajar itu.

“Kami beraktiviti seperti biasa. Berteleku dengan guru randai, buka gelanggang dengan doa dan bacaan al-Quran, bersilat dan sebagainya.

“Agaknya, mungkin kerana sifat randai yang mengangkat budaya Melayu Islam yang beradat bersendikan syarak dan pasaknya kitabullah, akhirnya sedikit demi sedikit, pelajar punk itu mula membuang jauh identiti itu dan kini, dia sangat ketara ciri Melayu,” jelasnya. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN