Kaedah menafsir al-Quran - Utusan Malaysia

Kaedah menafsir al-Quran

Menafsir al-Quran dengan al-Quran adalah kaedah terbaik untuk memahami kitab suci itu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Prof. Madya Dr. Khairul  Anuar Mohamad

Tafsir al-Quran mempunyai pelbagai kaedah. Kaedah terbaik adalah menafsir al-Quran dengan al-Quran diikuti hadis, pendapat sahabat r.a dan tabien. Contohnya, apabila menafsir ayat berkaitan solat maka seluruh ayat solat dalam al-Quran dikumpul dan ditafsirkan kerana setiap ayat mempunyai kaitan dan melengkapi makna antara satu sama lain. Seterusnya ayat berkaitan solat dihurai dengan hadis Nabi Muhammad SAW.

Kaedah ini diguna pakai dalam tafsir yang terkenal iaitu Tafsir Adwa’ al-Bayan karangan Sheikh Muhamad al-Mukhtar al-Syanqiti. Beliau meninggal pada 1393 hijrah. Dalam mukadimah tafsirnya, beliau menyatakan dua tujuan menulis tafsir.

Pertama, menerangkan makna ayat al-Quran dengan al-Quran itu sendiri. Para ulama sepakat bahawa semulia-mulia ilmu tafsir adalah menafsirkan ayat al-Quran dengan al-Quran juga. Kemudian beriltizam menafsirkan al-Quran dengan qiraat tujuh yang mutawatirah.

Kedua, menerangkan semua ayat yang ada kaitan dengan hukum-hakam fiqh dengan dalil daripada sunnah dan pendapat ulama. Jika banyak pendapat dalam satu perkara maka tarjih dilakukan. Tarjih ialah memilih pendapat yang terkuat dengan dalil-dalil yang sahih tanpa taksub kepada mana-mana mazhab.

Menurut Dr. Abdullah Muhammad al-Amin iaitu anak penulis Tafsir Adwa’ al-Bayan, ayahnya menulis sendiri tafsir daripada awal al-Quran sehingga surah Sod yang berada dalam juzuk 23. Ada beberapa anak muridnya membantu beliau menyalin.

Sheikh Muhammad al-Amin pernah berkata: “Sesungguhnya usia adalah sedikit dan ilmu amat banyak maka sewajarnya orang yang alim menulis sisi-sisi yang belum ditulis atau menulis untuk melengkapkan ilmu yang lompang ditulis ulama terdahulu bagi menyempurnakan ilmu tersebut.

“Justeru sesiapa yang ada bakat menulis maka hendaklah menulis sisi-sisi yang belum lengkap ini”.

Sebab itulah buku pertama beliau adalah berkaitan penolakan terhadap kekeliruan memahami ayat al-Quran untuk menghurai masalah yang dihadapi penuntut ilmu dan ulama.

Selepas tafsiran surah Sod, Sheikh Muhammad al-Amin uzur dan beliau menggunakan kaedah Imla’ iaitu pelajar menulis apa yang beliau huraikan.

Hal ini berterusan sehingga sampai kepada juzuk 28 pada ayat terakhir surah al-Hasyr yang bermaksud: Merekalah penyokong agama Allah. Ketahuilah sesungguhnya penyokong agama Allah itu ialah orang yang berjaya.

Meninggal dunia

Tidak beberapa lama selepas itu beliau meninggal dunia. Usaha menyempurnakan tafsir itu diteruskan oleh murid kesayangannya iaitu Sheikh Atiyyah Muhammad Salim.
Murid yang lama berteleku di hadapannya ini mempunyai ilmu yang luas dan mepunyai halaqah ilmu di Masjid Nabi. Sheikh Atiyyah menulis tafsir mengikut kaedah gurunya bermula dari surah al-Hasyr hinggalah akhir al-Quran.

Tafsir ini mempunyai sembilan jilid, tujuh daripadanya adalah karangan Sheikh Muhammad al-Amin dan dua jilid terakhir ditulis oleh muridnya, Syeikh Atiyyah. Ia kekal menjadi rujukan hingga hari ini.
Antara tafsiran yang menarik dalam Adwa’ al-Bayan ialah pada ayat 9, surah al-Isra’ yang bermaksud: Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul iaitu agama Islam.

Beliau menafsirkan al-Quran sebagai kitab paling mulia yang diturunkan Allah, mengumpul seluruh ilmu dan kitab terakhir yang Allah turunkan untuk menunjukkan jalan yang tepat. Seterusnya, beliau menyebut hidayah al-

Quran membawa kepada jalan terbaik untuk kebaikan dunia dan akhirat.

Al-Quran menyebut tentang tauhid kepada Allah dengan sempurna. Allah SWT yang mencipta segala-galanya, memberi rezeki kepada makhluk dan mewajibkan beribadah kepada-Nya. Semua dalil berkaitan tauhid ini disusun dengan baik.

Al-Quran juga menyebut tentang talak yang haknya diberi kepada suami kerana isteri adalah ladang atau padang untuk diletakkan biji benih.

Sudah tentu petani tidak boleh dipaksa bertani di padang yang dia tidak mahu bercucuk tanam jika pada pandangannya tanah tersebut tidak sesuai bercucuk tanam. Isu dihurai dengan panjang lebar hinggalah kepada poligami, keadilan dalam berumah tangga dan lain-lain.

Bagi yang ingin mendalami ilmu tafsir perlu mendapatkan guru yang mahir dalam bidang ini dan mampu memberi kupasan yang baik terhadap makna ayat al-Quran.

Semoga kita selalu membaca, memahami dan beramal dengan al-Quran.

Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad, Pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, USIM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN