Oleh Faezah Nayan
Ada orang suka mengkritik orang lain, ada sahaja yang tidak kena. Perbuatan menegur kesilapan seseorang di hadapan orang lain atau mengeluarkan kata-kata menjatuhkan semangat, menyindir atau sering menilai orang lain (judgemental) antara ciri-ciri jelas pemilik individu toksik atau toxic people.
Berfikiran negatif pada masa sama memandang rendah atau sering merasakan diri lebih baik daripada orang lain antara ciri jelas dimiliki individu toksik.
Adakah anda memiliki perasaan sedemikian? Jika ciri-ciri itu wujud di dalam diri, maka anda sudah termasuk dalam kalangan manusia toksik atau toxic people.
Toxic people bukan sekadar gelaran sebaliknya pemikiran negatif dimiliki itu boleh memudaratkan diri sendiri dan juga orang lain.
Dengan situasi kita yang lebih banyak menghabiskan masa di pejabat dengan secara purata memperuntukkan waktu bekerja di pejabat sebanyak 90,000 jam sepanjang hidup, bermakna kita amat terdedah dengan orang sebegini.
KENALI INDIVIDU TOKSIK
Terdapat beberapa cara untuk mengenali orang toksik antaranya adalah seseorang yang sering membuatkan anda rasa bersalah, suka bergosip, sering bersedih, drama queen, tidak mempunyai masa untuk anda, bersikap iri hati dan sering membuat anda berasa rendah diri.
Orang toksik ini cenderung untuk iri hati dengan kelebihan orang lain dan mereka berasa tercabar sekiranya orang lain mempunyai kelebihan daripada mereka.
Contohnya, jika ada rakan mempunyai markah prestasi yang lebih tinggi daripadanya, memakai baju atau beg tangan berjenama, individu tersebut akan berusaha mengatasi rakannya asalkan dia lebih daripada orang tersebut.
Dalam kebanyakan hal, anda sering mengalah dan sentiasa kalah kepada orang toksik kerana mereka bersikap manipulatif apabila mengetahui kelemahan anda dan sentiasa mempergunakan anda untuk kepentingan mereka sendiri.
TANGANI
Apabila berdepan individu toksik, anda perlu bersikap mengawal emosi pada masa sama berhubung secara rasional dan bukannya emosional.
Anda perlu mengawal diri dengan membina sempadan diri atau self-boundary apabila berhadapan dengan orang toksik.
Sekiranya mereka cuba memasuki sempadan anda, maka beredarlah dengan segera. Begitupun, kita sebenarnya selalu tidak sedar kadangkala kita sebenarnya orang toksik.
Justeru apabila rakan-rakan mula menjauhkan diri kerana tidak selesa dan sering tertekan dengan sikap anda, ini bermakna mereka sedar bahawa anda seorang yang toksik.
Sentiasalah bersangka baik dan berfikiran positif akan menjauhkan kita daripada sikap toksik kerana persekitaran kerja tanpa orang toksik menjadikan suasana kerja lebih ceria, bersemangat, bersatu-hati, sayang-menyayangi
dan tulus ikhlas yang akhirnya memberi kesan menyeluruh kepada kehidupan.
Penulis ialah Pegawai Psikologi Kanan, Pusat Kaunseling, Universiti Utara Malaysia (UUM).










