Peningkatan kes Covid-19 secara mendadak yang membawa kepada keputusan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memungkinkan usaha pengawalan penularan virus diperhebatkan.
Selain itu, kerja-kerja pasukan barisan hadapan juga semakin mencabar dan memerlukan mekanisme perawatan pesakit lebih berhati-hati bagi mengelakkan mereka terdedah kepada risiko jangkitan.
Kerja mengambil sampel dan merawat secara bersemuka misalnya mendedahkan pekerja barisan hadapan ini kepada jangkitan tetapi masih ada cara bagaamana mengatasi masalah tersebut.
Antara usaha tersebut adalah meneruskan kerja-kerja berkenaan tanpa perlu berhadapan dengan pesakit. Ia dengan menggunakan peranti yang bersifat mobil atau mudah alih dan dilengkapi peralatan tertentu yang sesuai dengan tugasan yang dipertanggungjawabkan.
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UAIM) sebagai contoh, berjaya membangunkan sebuah robot yang diprogramkan tugasannya untuk merawat pesakit Covid-19 dinamakan MediBOT.
MediBot adalah sebuah robot medikal sidang video (teleprseence) yang merupakan suatu inovasi yang membolehkan doktor dan pesakit berinteraksi secara dalam talian.
Telepresence merupakan satu teknologi yang membolehkan seseorang itu seolah-olah hadir dalam satu peristiwa menerusi telerobotics seperti keadaan sebenar.
Oleh kerana ia merupakan robot pelbagai tugasan, maka kerja- kerja pembangunannya melibatkan kepakaran daripada pelbagai bidang iaitu pasukan teknikal melibatkan sistem arkitek dan perisian dan sistem bersepadu.
Pasukan tersebut juga melibatkan rakan industri daripada Postrain Sdn. Bhd. yang membawa kepakaran mereka dalam fabirikasi robot dan peraturan regulasi. Pasukan kepakaran yang tidak kurang pentingnya melibatkan bidang perubatan daripada Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah bagi operasi dan Prosedur Operasi Standard (SOP) selain penglibatan pasukan kejuruteraan.
Menurut Pengarah Pusat Teknologi Tanpa Pemandu (CUte) UIAM, yang menjadi ketua projek pembangunan MediBOT, Prof. Madya Dr. Zulkifli Zainal Abdin, inovasi tersebut diinspirasikan atas dasar untuk mengekang penularan Covid-19 yang tidak menggalakkan interaksi secara langsung antara doktor dan pesakit.
Oleh sebab itu, antara penyelesaiannya adalah interaksi sidang video dan MediBOT merupakan suatu inovasi yang dilengkapi dengan penyelesaian tersebut.
MediBOT boleh dikawal dari jarak jauh dan digerakkan ke katil pesakit. Robot dilengkapi skrin dan kamera yang membolehkan doktor yang berada di bilik atau tempat lain berinteraksi dengan pesakit secara dalam talian.
Dengan bantuan peranti, tanda-tanda penting pesakit seperti tekanan darah, degupan jantung dan sebagainya diambil bacaan dan data-data tersebut dapat dilihat dan dianalisis secara masa sebenar oleh doktor.
“Dalam inovasi MediBOT ini, kami mengambil kaedah sistem integrasi iaitu peralatan dan instrumen perubatan yang sedia ada diintegrasikan pada MediBOT. Ini termasuk juga komputer mikro, sensor (penderia), motor, kamera dan instrumen-instrumen visual and navigasi,” ujarnya.

Kata beliau, oleh kerana MediBOT dibangunkan untuk keperluan petugas perubatan untuk menangani pesakit yang mengalami penyakit berjangkit, terdapat kelebihan berbanding robot telepresence yang sedia ada.
Selain interaksi antara pesakit dan petugas perubatan, robot ini juga membawa peranti perubatan asas yang digunakan untuk mendiagnosis pesakit. Peranti ini disatukan dalam sistem operasi robot ini, yang membolehkan data daripada peranti ini dihantar secara dalam talian kepada doktor atau petugas perubatan yang menggunakan robot ini.
MediBOT ini dilengkapi alat kawalan jauh bervisual yang membantu doktor berinteraksi dengan pesakit tanpa bersemuka, sekali gus mengurangkan risiko kepada petugas kesihatan. Penggunaan robot ini juga dapat mengurangkan risiko transmisi antara pesakit dengan pesakit.
MediBOT ini dilengkapi sistem nyahkuman. Dengan adanya sistem nyahkuman ini risiko merebak di antara pesakit dengan pesakit disebabkan penggunaan atau perkongsian alat pengesan vital (contohnya penderia haba) mampu dikurangkan.
Penyelidikan tersebut yang bermula semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi dan CUTe sebenarnya telah berjaya membangunkan dua prototaip MediBOT. Ia kini dalam proses mengeluarkan prototaip ke 3. Projek ini akan selesai setelah mendapat pensijilan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).
Namun demikian projek ini akan berterusan, kerana pemulih baikkan akan sentiasa dilakukan.
Menurut seorang rakan penyelidik, Dr. Fadly, produk tersebut adalah hasil kerjasama CUTe, Kulliyyah Kejuruteraan UIAM, Sultan Ahmad Shah Medical Centre (SASMEC), UIAM dan juga dari Industri iaitu Prostrain Technology Sdn. Bhd.
Pengarah Urusan ProStrain Technologies, Taufik Yunahar pula berkata, MediBOT memerlukan siri ujian dan penambahbaikan sebelum boleh dikomersialkan.
“Ini termasuk ujian klinikal dan ujian teknikal dan semasa ujian ujian ini diadakan biasanya akan berlaku penambahbaikan untuk memastikan robot ini patuh kepada keperluan standard yang diguna pakai untuk ujian ujian ini,” ujarnya.
Kata beliau lagi, robot tersebut dibangunkan dengan mengambi kira persekitaran pusat perubatan, iaitu aspek keselamatan semasa robot beroperasi diambil kira dan yang paling penting kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk robot ini bersandarkan kepada piawaian antarabangsa yang diguna pakai untuk persekitaran pusat perubatan. Ciri-cirinya membolehkan
MediBOT boleh digunakan dalam industri khususnya dalam industri perubatan. MediBot Version 2 itu disasarkan terutama untuk pengamal perubatan yang terlibat secara langsung dalam merawat pesakit iaitu doktor, jururawat dan pembantu perubatan dilokasi seperti klinik dan wad.
Ini kerana keupayaan MediBOT Version 2 adalah lebih kepada membantu di dalam pemeriksaan tanda-tanda penting pesakit seperti suhu badan, tekanan darah, nadi, pernafasan dan tahap oksigen di dalam badan.
Pasukan perubatan daripada SASMEC berharap UIAM akan mewujudkan siri MediBOT versi seterusnya yang boleh ditempatkan di lokasi-lokasi yang lain.










