Degu pun diet, cenderung diabetik - Utusan Malaysia

Degu pun diet, cenderung diabetik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK semua yang menyerupai tikus itu boleh dipanggil tikus atau Cik Siti, nama gelaran untuk haiwan berkenaan dalam kalangan orang Melayu.

Ini kerana Octodon Degus (Degu) lebih dekat kaitan spesiesnya dengan keluarga arnab, tetapi rupanya lebih mirip dengan Guinea Pig dan Chinchilla.

Kalau kurang arif tentang rupa bentuknya, tidak mengapa. Bayangkan sahaja Degu sebagai seekor rodensia yang comel dan manja.

Seperti kata pemilik haiwan ini, Muhd. Elyas Kamalul Arifin, 38, Degu menarik di matanya kerana haiwan ini memiliki keunikannya tersendiri.

“Rupanya macam tikus, tetapi bukan. Telinga Degu unik seperti elf manakala ekornya pula gebu seperti memiliki bebola pom pom.

“Saiznya mungkin lebih kurang dengan Guinea Pig, tetapi sebenarnya Degu lebih mudah dijaga dan jinak berbanding tikus,” katanya.

Menurut Elyas, walaupun jinak, penjagaan Degu bagaimanapun tidak boleh dibuat sambil lewa kerana haiwan ini secara semula jadinya ada penyakit.

Mungkin kedengaran lucu, tetapi kata guru bahasa Inggeris ini, Degu sebenarnya cenderung memiliki penyakit kencing manis atau diabetik dan kerana itu perlu elakkan memberi makanan bersifat manis kepada mereka.

“Haiwan ini cenderung ada penyakit itu sejak lahir. Jadi kena elak beri sebarangan makanan yang tidak sesuai termasuk buah atau lobak merah sekali pun.

“Saya akan pastikan makanan mereka bersifat tawar contohnya bijirin, kacang, gandum, kuaci, bunga, daun timothy atau makanan diet mereka.

“Ya, Degu perlu diet yang betul agar tidak mudah mendapat penyakit dan lemah,” katanya.

Selain itu, menurut Elyas, satu lagi fakta tentang Degu, haiwan ini tidak boleh mandi atau dimandikan dengan menggunakan air juga dikhuatiri mudah mendapat sakit.

“Degu tak boleh berada dalam keadaan basah dan cara terbaik nak ‘mandikan’ mereka adalah menggunakan pasir atau bathing sand khas yang dijual di pasaran. Masukkan sahaja dalam bekas berisi pasir itu, Degu akan berguling dan mandi dengan gembira,” katanya.

 

MUHD. Elyas terpikat dengan karektor comel Degu.

 

Haiwan diurnal

Berbeza dengan rodensia lain, atau sekurang-kurangnya dibandingkan dengan keluarga Sugar Glider, Degu manakala bukanlah haiwan yang bersifat nokturnal atau aktif di waktu malam.

Bersifat diurnal, kelebihan itu membuatkan Elyas tertarik untuk memelihara haiwan ini yang mana baginya, sesuai dengan waktu tidur manusia normal.

Kini memiliki enam ekor Degu, Elyas juga mengasingkannya mengikut jantina berbeza kerana faktor mudah biak.

“Degu betina yang bunting akan melahirkan anak-anaknya tiga bulan kemudian. Setelah lahir, anak-anak Degu juga unik kerana mereka cepat belajar.

“Bayangkan dalam masa sejam sahaja mereka boleh berjalan mengelilingi sangkar, meniru aksi si induk,” katanya.

Kongsi Elyas, harga biasa untuk seekor Degu ialah dalam lingkungan RM150 hingga RM170 atau maksimum dijual RM250 seekor di pasaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN