Salah satu ciri ketagihan internet ialah individu berasa rasa takut apabila tiada akses terhadap gajet fenomena nomofobia (no mobile phobia). Adakah anda begitu?
Ketagihan internet bukan isu terpencil. Insiden leka bermain sehingga mati lantaran tidak makan selama seminggu, membunuh diri, terjun bangunan dan mengamuk, antara petanda akibat ketagihan internet.
Perunding Inkubator Disleksia Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Zulikha Jamaludin berkata, kajian kes dilakukan, seorang budak lelaki berusia tujuh tahun leka menggunakan telefon bimbit.

Katanya, apabila diambil kanak-kanak berkenaan marah dengan menggenggam penumbuk, malah turut menumbuk meja sambil merenung tajam dan mendengus seperti monster.
“Saya terkejut melihat anak sekecil ini sudah jadi seperti monster atau raksasa, saya tanya kepada ibunya kenapa jadi begini? Rupa-rupanya sejak usianya dua tahun lagi sudah didedahkan dengan telefon bimbit,” katanya.
Individu mudah leka dengan internet kerana tarikan Interaction Design (IxD) di mana ia memainkan peranan yang sangat besar dalam semua perisian yang digunakan pada hari ini seperti Facebook, WhatApps, Instagram dan Twitter.
“Namun ada sebahagian pereka mengambil kesempatan demi keuntungan kewangan, legasi, kemasyhuran dan pelbagai kepentingan lain telah membawa IxD ke sisi gelap.
“Pereka bentuk IxD adalah ‘penyiasat’ hebat di mana mereka mengkaji pengguna dari segi minat, perasaan, tingkah laku malah ekspresi wajah. Mereka meneliti setiap perincian yang membawa kepada semangat, motivasi dan kekecewaan pengguna. Tugas ini sangat baik untuk membina perisian, tetapi apabila disalah guna mereka boleh mengambil kesempatan di atas kelemahan pengguna.
Mereka sudah tahu benar bilakah daya tarik produk boleh membawa kepada ketagihan,” ujarnya.
Lebih daripada itu, katanya aplikasi komputer kini direka bentuk dengan matlamat membuat rampasan psikologi, menarik pengguna ke lencongan ditentukan oleh aplikasi, bukan pengguna.
LENCONGAN
“Untuk satu lencongan sahaja secara purata pengguna membazirkan 23 minit. Bayangkan berapa banyak masa yang kita bazirkan melayan pautan demi pautan,” katanya.
Mengulas mengenai ‘kerja dilakukan’ Zulikha berkata, berbekalkan kemahiran psikologi persuasif, captologi, HCI, UI, UX Interaction Designer ‘menggoda’ pengguna untuk mengguna aplikasi lebih lama, lencongan, rampasan kawalan, mencorak cara berfikir dan perasaan, rampasan psikologi, kutip maklumat pengguna, kawal pilihan pengguna yang mana semuanya atas permintaan pelanggan yang menyediakan upah lumayan.
“Tidak keterlaluan jika dikatakan ia tidak ubah seperti puppets yang dimainkan oleh pelanggan (organisasi) untuk memperdaya pengguna. Ini antara sebab utama pengguna ketagih kepada aplikasi tertentu yang dinamakan Kecelaruan Ketagihan Internet (IAD) sehingga mengundang pelbagai masalah besar,” tambahnya.
Dalam usaha menangani, katanya individu tidak perlu terlalu leka apabila berada di alam maya.
“Simpan aplikasi yang benar-benar perlu sahaja. Guna aplikasi secara sedar, notifikasi optimum, reka bentuk menyokong pengurusan masa, reka bentuk elak gangguan dan reka bentuk tanpa godaan (login walls),” katanya.
INTERACTION DESIGN (IxD)
» Merujuk kepada reka bentuk produk digital bermatlamat untuk memudahkan interaksi di antara pengguna dengan produk.
» Memainkan peranan besar dalam semua perisian seperti Facebook, WhatApps, Instagram dan Twitter.