MASYARAKAT hari ini memandang sepi nilai akhbar bercetak apabila saban hari bersilih berganti bulan, bulan berganti tahun dan tahun berganti abad, para pembaca kini kian pupus dengan kelahiran teknologi jalur lebar internet yang pesat tanpa sempadan.
Kebanyakan generasi muda kini kurang gemar membeli akhbar cetak dan lebih cenderung mengikuti berita semasa melalui berita dalam talian. Alasan mereka, ia lebih mudah diakses kerana hanya di hujung jari untuk dibaca serta disebarkan kepada pembaca lain.
Tetapi tidak bagi seorang anak muda, Mohd. Faiz Ahmad, 35, yang masih bertuah apabila menyimpan beberapa naskhah akhbar Utusan Zaman yang berusia kira-kira 50 tahun apatah lagi dalam versi dalam tulisan Jawi.
Akhbar tulisan Jawi itu masih lagi utuh dan jelas apabila naskhah akhbar tersebut ditemukan dengan disimpan rapi di kediaman arwah datuknya, Abdullah Ibrahim, 78, di Jalan Muar Lama, Segamat, Johor.
“Pada mulanya, saya hanya mahu membersihkan dalam almari arwah Tok Bah (arwah datuk). Namun tidak sangka arwah Tok Bah ada menyimpan naskhah akhbar Utusan Zaman yang sudah lebih setengah abad usianya itu,” ujar Mohd. Faiz.
Apa yang lebih menarik perhatiannya, akhbar Utusan Zaman adalah satu-satunya akhbar Melayu bertulisan jawi yang boleh ditemukan pada hari ini.
“Akhbar cetakan tulisan jawi adalah rare pada zaman millennium ini. Kita tidak dapat lagi jumpa akhbar tulisan jawi pada zaman sekarang,” katanya.
Menyelak helaian akhbar klasik ini, Mohd. Faiz dapat menemui beberapa iklan syarikat terkemuka di tanah air yang pernah menggunakan lukisan komik dan dialog di dalam tulisan jawi pada salah satu ruangan akhbar.
Dia membaca semula isi berita di dalam akhbar Utusan Zaman keluaran 22 Julai 1977 itu apabila turut menyingkap sejarah cadangan penggunaan Bahasa Malaysia pada buku-buku teks di universiti pada 1983.
Tidak ketinggalan juga, perkembangan kisah Biduanita Sarimah yang menjadi antara tajuk muka depan keluaran akhbar pada tarikh tersebut di samping itu, pencapaian filem tanah air ke peringkat antarabangsa buat santapan pembaca.
Perdana menteri pada ketika itu, Tun Hussein Onn, yang digelar bapa perpaduan negara di lihat memperjuangkan hak Bumiputera dalam perkembangan industri perdagangan negara di dalam salah satu tajuk utama dalam akhbar keluaran 1974 itu.
Selain itu, kolum yang tidak dapat lagi dilihat di dada akhbar kini adalah kolum ‘Pawagam P. Ramlee’ di mana ia adalah panggung kepunyaan Bumiputera yang mempromosi filem-filem melayu yang ditayangkan di pawagam berserta waktu tayangan dan tarikh tayangan filem baharu yang seterusnya.
Turut menempah zaman kegemilangan dalam dunia sukan pada era tersebut adalah pasukan hoki kebangsaan Malaysia apabila pasukan negara berjaya ke kejohanan hoki Piala Dunia pada tahun seterusnya, 1975 yang menyaksikan Malaysia berjaya memperolehi kedudukan ke-4 dunia iaitu kedudukan terbaik pasukan hoki negara sehingga ke hari ini.
Menyentuh perkara itu, Mohd. Faiz berkata, akhbar pada ketika itu khususnya Utusan Zaman telah menjadi lidah intelektual orang Melayu pada tahun 70-an apabila para pemimpin negara dan intelektual nasionalis Melayu di barisan hadapan memperjuangkan kesedaran penggunaan tulisan Jawi dalam masyarakat majmuk.
“Peninggalan akhbar Utusan Zaman tulisan Jawi yang di tinggalkan oleh arwah Tok Bah ini sedikit sebanyak membuktikan akhbar tertua negara ini tidak ditelan zaman.
“Malahan ia menjadi lebaran informasi yang banyak memberikan saya gambaran sebenar apa yang berlaku pada zaman 70-an di mana pada era tersebut saya masih belum lahir lagi,” jelasnya.
Beliau berharap penerbitan akhbar di dalam tulisan Jawi seperti Utusan Zaman ini dapat dilahirkan semula bagi memberi pendedahan bacaan tulisan itu.









