Konsep minimalis jadi pilihan - Utusan Malaysia

Konsep minimalis jadi pilihan

Wan Salfarini Wan Hamat bersama suami, Mohd. Nizar Mansor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kerja pengubahsuaian dan dekorasi kediaman adalah satu proses rumit dalam memastikan setiap pelan yang dirancang memenuhi cita rasa, keperluan dan kapasiti ruang sedia ada.

Mungkin ia mudah bagi mereka yang berpoket tebal untuk menyuarakan konsep tata rias idaman menerusi rundingan bersama pakar seni reka hiasan dalaman, namun berbeza situasi bagi pemilik kediaman yang mempunyai bajet terhad.

Menariknya, sentuhan dekorasi bajet ini selalunya lebih bersifat peribadi dan terselit sentimen demi merealisasikan idea yang diingini.

Utusan Malaysia baru-baru ini menghubungi pasangan suami isteri, Mohd. Nizar Mansor dan Wan Salfarini Wan Hamat, masing-masing berusia 36 tahun. Pemilik kediaman teres dua tingkat peribadi di pinggir ibu kota ini berkongsi inspirasi penataan pilihan mereka.

Berlatar belakang sebagai jurutera awam memberi kelebihan kepada Wan Salfarini untuk merancang idea dekorasi dan susun atur perabot di kediamannya itu sekali gus melengkapkan konsep minimalis dan Scandinavian.

“Kami berpindah ke rumah ini lapan tahun lalu dan tidak pernah memikirkan apa-apa konsep hiasan dalaman kerana ketika itu, saya sibuk dengan pengajian peringkat sarjana.

“Perkara pertama yang kami lakukan sebaik berpindah ke sini adalah membina kabinet dapur. Saya mempunyai idea sendiri bagi dapur yang disifatkan ruang peribadi dalam memenuhi tanggungjawab sebagai isteri dalam menyediakan hidangan keluarga,” katanya.

Wan Salfarini berkata, menggunakan ilmu dan pengalaman yang ada, beliau membuat keputusan mereka bentuk kabinet dapur idaman bersesuaian cita rasa serta ruang tersedia.

“Untuk itu, saya melakar beberapa jenis reka bentuk kabinet sebagai pilihan dan mengambil masa kira-kira dua hari untuk melakukannya. Saya juga menambah elemen meja bar di bahagian dapur sekali gus berfungsi sebagai ‘pembahagi’ antara dapur dan ruang makan.

“Selain melakar reka bentuk diingini, saya turut memilih warna putih sebagai tema kerana berpendapat ia lebih mudah digandingkan dengan pelbagai warna lain kelak. Ternyata keputusan awal itu tepat” katanya.

 

KOMBINASI warna neutral menaikkan seri ruang kediaman.

 

Mementingkan konsep minimalis bersifat praktikal dan simentri, wanita ini mengakui setiap pemilihan perabot dan aksesori hiasan merujuk kepada elemen ringkas serta moden.

Menerima sokongan suami tercinta, ibu kepada tiga anak ini berkata, konsep minimalis bukan sahaja menepati trend terkini generasi muda, bahkan ia mampu mengurangkan kos dekorasi dengan rekaan perabot lebih ringkas tetapi kekal menarik.

Ini terbukti dengan gaya pilihan rekaan dalaman di ruang tamu hasil tangan Wan salfarini yang tampak elegan dengan permainan tona pastel. Sentuhan dekorasi ruang tamu dikategorikan tepat apabila berjaya menyerlahkan tarikan mata dengan kombinasi warna neutral seperti coklat cair, putih, merah jambu dan hijau bersama ‘contengan’ hitam membuatkan suasana lebih segar.

Tidak lari daripada elemen kayu, Wan Salfarini memilih meja kayu berbentuk segi empat tepat, berkaki besi bersaiz sederhana bagi menghiasi hamparan permaidani.

Penggayaan fabrik berkait berwarna merah jambu pula menjadi ‘lawan’ kepada rona tanah, malah pokok hiasan kehijauan pelbagai jenis mengurangkan dominasi warna lembut serta menyegarkan pandangan.

Tidak terlalu berlebihan pada hiasan dinding, gantungan tiga poster berbeza motif dan saiz sudah cukup menaikkan seri ruang. Menjadikan internet sebagai sumber rujukan dan panduan dalam susun atur perabot dan poster, Wan Salfarini berkata, setiap tindakan perlu dirancang bagi memastikan ia benar-benar sesuai dan kelihatan cantik.

Bagi ruang privasi, pasangan ini mengutamakan kombinasi warna putih, kelabu dan merah jambu bagi menzahirkan mood santai serta romantis.

Turut mengekalkan konsep sederhana, hiasan dekorasi lebih tertumpu pada variasi bantal hiasan bermotif dan rona, serta poster kata-kata positif. Satu lagi sudut menarik perhatian adalah ruang ‘make-up’ ciptaan beliau sendiri yang tampak santai dan segar.

Memilih meja sisi berlaci diperbuat daripada kayu dan besi, wanita ini bertindak menghias meja ‘makeup’ dengan kuntuman bunga palsu dalam palsu putih. Berkongsi tips dekorasi, wanita ini memberitahu, konsep pilihannya tidak memerlukan belanja yang tinggi. Sebaliknya individu perlu bijak membuat pilihan dan merancang idea diingini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.