3M lambang cinta kepada arwah anak - Utusan Malaysia

3M lambang cinta kepada arwah anak

Zubaydah Zamri (dua dari kanan) ketika menyerahkan bantuan kepada kanak-kanak pesakit kanser di Hospital Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap kali terbaca mengenai kanak-kanak yang menderita penyakit kanser, naluri keibuan Zubaydah Zamri, 44, pasti tersentuh.

Ingatannya pasti terkenang anak lelaki tunggalnya, Muhamad Muhaimin Abdullah, 3, yang telah dijemput ilahi pada 2019 akibat penyakit kanser neuroblastoma.

Sebagai seorang ibu yang pernah diuji dengan anak yang menghidap kanser, Zubaydah tahu pahit getir perlu dihadapi oleh ibu bapa pesakit kanser.

Cabaran dari segi kewangan merupakan antara perkara yang perlu dihadapi memandangkan kos untuk menjaga keperluan anak-anak pesakit kanser adalah tinggi.

Malah, ketika anaknya sedang berjuang melawan penyakit kanser, Zubaydah sendiri pernah hanya tinggal RM1 dalam poket.

Lantas, untuk membantu meringankan beban ibu bapa pesakit kanser, Zubaydah mengambil inisiatif menubuhkan Dana 3M.

3M bererti Dana Muhammad Muhaimin Mission.

Zubaydah berkata, Dana 3M yang ditubuhkan pada 2019 itu boleh diisi secara automatik menerusi pembelian makanan sihat dan organik menerusi jenama Nature Bites yang dimasak sendiri olehnya.

                                         Antara sajian disediakan Nature Bites

 

“Menerusi setiap pembelian set makanan sihat dan organik seperti salad dan sandwic daripada Nature Bites orang ramai boleh menyumbang RM1 untuk membantu kanak-kanak pesakit kanser yang memerlukan bantuan.

“RM1 ini akan dimasukkan secara automatik ke dalam Dana 3M dan jumlah terkumpul sebanyak RM200 setiap bulan akan dikeluarkan untuk membeli barangan keperluan kanak-kanak pesakit kanser yang tinggal di hospital,” katanya.

Nature Bites ‘resipi’ bantu kanak-kanak kanser

Zubaydah yang merupakan pembantu penyelia perpustakaan di sebuah universiti swasta memberitahu, Nature Bites memberi fokus kepada pemakanan sihat serta seimbang serta membantu pelanggan mengamalkan diet yang betul.

“Set makanan yang dijual seperti salad, sandwic, set nasi dan ayam panggang dan sebagainya adalah menggunakan bahan-bahan organik.

“Selain membantu mengisi Dana 3M, orang ramai juga boleh menjaga kesihatan masing-masing,” katanya.

Zubaydah berkata, kesemua set hidangan menu sihat Nature Bites itu akan dimasak sendiri mengikut tempahan daripada pelanggan.

“Saya mempunyai kumpulan WhatsApp Nature Bites, Facebook Nature Bites Kitchen dan Instagram usebook.cafe yang digunakan untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai aktiviti kami.

“Setakat ini Nature Bites bergerak sendiri dan kadang-kadang saya juga dibantu rakan-rakan serta pelajar kolej swasta yang membantu mengedarkan barangan keperluan kepada kanak-kanak di Hospital Pulau Pinang,” katanya.

Zubaydah memberitahu, antara barangan keperluan yang akan diberikan kepada kanak-kanak pesakit kanser di hospital ialah susu, lampin pakai buang, makanan tambahan dan juga permainan untuk kanak-kanak.

“Ada yang bertanya saya kenapa saya belikan mainan kepada kanak-kanak.

“Kanak-kanak pesakit kanser selalunya akan menghabiskan masa yang lama di hospital, boleh dikatakan hospital adalah rumah kedua mereka.

“Disebabkan itulah barangan permainan amat penting kepada mereka agar masa mereka di hospital diisi dengan sebaiknya,” katanya.

Tambah Zubaydah, ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, dia berdepan kesukaran untuk mendapatkan dana bagi mengisi Dana 3M.

“Semasa PKP ramai ibu bapa pesakit kanser yang menghubungi saya untuk memohon bantuan namun ketika itu tiada tempahan makanan sihat daripada orang ramai.

“Saya berharap pada masa ini keadaan pulih dan orang ramai dapat kembali bersama-sama menyumbang kepada kanak-kanak pesakit kanser bersama-sama Nature Bites,” katanya.

Produk makanan sihat dan organik daripada Nature Bites yang berharga bermula dari RM7.90 boleh didapati di laman Facebook Nature Bites Kitchen dan laman Instagram usebook.cafe.

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya