Pekan Rabu lambang kemegahan peniaga Melayu - Utusan Malaysia

Pekan Rabu lambang kemegahan peniaga Melayu

KOMPLEKS Pekan Rabu Alor Setar menjadi lambang kemegahan peniaga Melayu di Kedah. UTUSAN/ED SHAHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOMPLEKS Pekan Rabu tersergam indah di tengah-tengah bandar raya Alor Setar, Kedah merupakan lambang kemegahan kepada peniaga-peniaga Melayu di negeri ini, malah di Malaysia.

Kebanyakan peniaga di kompleks perniagaan itu sekarang merupakan generasi ketiga dan keempat daripada peniaga asal Pekan Rabu yang mula dibuka di Tanjung Chali, Alor Setar pada 1930.

Berdasarkan sejarah, Pekan Rabu diasaskan oleh seorang putera Diraja Kedah, Tunku Yaakob Abdul Hamid Halim Shah bertujuan memberi peluang kepada orang Melayu berniaga dan meningkatkan ekonomi bangsa tersebut.

Orang Melayu yang tinggal di sekitar Alor Setar pada ketika itu digalakkan mengambil bahagian dalam perniagaan dengan menjual hasil tanaman dan perusahaan kampung, sekali gus membantu meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Bagaimanapun pada tahun 1932, Pekan Rabu di Tanjung Chali diarah berpindah ke tempat lain selepas tapak tersebut akan dibina sebuah bangunan pejabat Kastam yang baharu.

Tunku Yaacob kemudian memindahkan Pekan Rabu ke Jalan Tunku Ibrahim, terletak kira-kira satu kilometer dari tapak asal dan ia kekal sampai sekarang.

 

DR. MAHATHIR

Antara peniaga di Pekan Rabu ialah bekas Perdana Menteri Malaysia keempat dan ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjual cendol dan membuka kedai kopi serta menjual buah-buahan pada zaman pendudukan Jepun pada tahun 1942 hingga 1944.

Pengerusi Koperasi Pekan Rabu Alor Setar Berhad, Mohamed Jalaluddin Mohd. Noor berkata, bangunan asal Pekan Rabu di Jalan Ibrahim telah diubah suai beberapa kali oleh kerajaan negeri dan Persekutuan untuk memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung.

 

MOHAMED JALALUDDIN MOHD. NOOR

 

Menurutnya, pada tahun 2014, kerajaan membina bangunan baharu Pekan Rabu yang dikenali sebagai Kompleks Pekan Rabu di tapak yang sama dengan kos kira-kira RM55.5 juta dan dibuka semula dengan wajah baharu pada Mac 2018.

Katanya, bangunan setinggi empat tingkat itu dibina dengan reka bentuk serba moden, namun ciri-ciri keunikan konsep asal Pekan Rabu itu masih dikekalkan dengan reka bentuknya turut dibina dengan konsep tradisional Islamik.

“Kompleks perniagaan itu dibangunkan semula di atas tanah seluas 5,062 meter persegi dan ia mempunyai 355 ruang niaga termasuk kios serta 24 kedai makan.

“Kemudahan lain yang disediakan adalah 203 petak tempat letak kereta, 118 petak tempat letak motosikal, kemudahan lif, surau, tandas dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM),” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kompleks Pekan Rabu menyediakan pelbagai jualan seperti makanan, kuih, pakaian, songkok, kraftangan serta produk industri kecil dan sederhana.

 

DR. Mahathir Mohamad melawat Pekan Rabu, Alor Setar pada tahun 1978.

 

Siti Nur Dalila Abd. Kadir (kiri) bersama adiknya, Ahmad Farhan menunjukkan koleksi baju Melayu dan songket yang dijual di gerai mereka di Kompleks Pekan Rabu.

 

Mohamed Jalaluddin menambah, pelancong-pelancong ke bandar raya Alor Setar, seolah-olah tidak lengkap perjalanan mereka jika tidak singgah dan membelah-belah di Kompleks Pekan Rabu.

“Pada hari-hari biasa, kira-kira 1,000 orang termasuk pelancong mengunjungi Kompleks Pekan Rabu dan jumlah pengunjung boleh mencecah antara 2,000 hingga 3,000 orang pada Jumaat, Sabtu dan Ahad serta musim cuti sekolah,” katanya.

Sementara itu, difahamkan nilai urus niaga peniaga di kompleks perniagaan itu dianggarkan boleh mencecah antara RM4 juta hingga RM5 juta sebulan.

 

Hail Abdul Rahman (kanan) membeli songkok di Kompleks Pekan Rabu.

 

 

PEKAN RABU ALOR SETAR, KEDAH

» Mula dibuka di Tanjung Chali pada tahun 1930.
» Diasaskan oleh seorang Putera Diraja Kedah, Tunku Yaakob Abdul Hamid.
» Pada tahun 1932, berpindah ke lokasi baharu di Jalan Tunku Ibrahim.
» Antara peniaga di Pekan Rabu ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
» Bangunan baharu yang dikenali Kompleks Pekan Rabu yang berharga RM55.5 juta dibina di tapak lama di Jalan Tunku Tunku Ibrahim pada 2014 dan dibuka semula 2018.
» Antara produk yang dijual adalah makanan, kuih, pakaian dan kraftangan serta barangan industri kecil dan tradisional.
» Jumlah pengunjung amtara 1,000 hingga 3,000 sehari.
» Nilai urusan niaga dianggarkan RM4 juta hingga RM5 juta sebulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya