Covid 19, memberi tempias bukan sedikit kepada sektor ekonomi termasuklah sektor pelancongan khususnya subsektor perhotelan.
Walau bagaimanapun disebabkan pelancongan masih menjadi tumpuan, industri berkenaan dilihat masih memiliki masa depan, dengan syarat pengusaha perlu memperkenalkan produk menarik dalam usaha menggamit kehadiran pelancong.
Pengarah Urusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Holdings Sdn Bhd, Datuk Hatar Ismail berkata melihat keadaan itu pihaknya berpendapat Hotel Puri Pujangga miliknya perlu kembali beroperasi.
Katanya, pembukaan semula hotel berkenaan turut disertakan dengan pelbagai promosi selain penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai langkah keselamatan.
“Suasana tenang dan kemudahan yang disediakan di sekitar kawasan UKM dan Bangi merupakan antara aset dan tarikan di sini.
“Dengan tawaran harga berpatutan, semua orang boleh datang untuk bersantai bersama keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia. Beliau menyatakan demikian pada majlis Pembukaan Semula Hotel Puri Pujangga di Bangi baru-baru ini.
Yang hadir sama Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UKM, Prof. Datuk Ir. Dr Mohd. Marzuki Mustafa.
Hotel yang dibuka secara rasminya pada 12 Ogos, menawarkan pakej untuk pelbagai majlis atau menyambut hari istimewa bersama orang tersayang.

Persekitaran Bangi cukup terkenal dengan pelbagai butik pakaian yang mewah dan mempersonakan untuk membeli belah sambil bermalam di hotel berkenaan
Atas faktor kebersihan dan keselamatan, hotel berkenaan turut melalui proses nyahkuman dan pemeriksaan suhu badan sebelum pelanggan dibenarkan masuk.
Laluan hotel turut disediakan dalam bentuk sehala bagi memastikan penjarakan fizikal dilaksanakan.
Sejajar dengan rangka promosi, hotel berkenaan turut menawarkan tawaran menarik sehingga akhir bulan ini.
Antara pakej yang ditawarkan
» Sambutan ulang tahun
» Pakej mesyuarat kumpulan kecil
» Pakej BBQ bersama keluarga
» Pakej perkahwinan bufet yang ditawarkan dengan harga bermula daripada RM13 satu kepala dan sebagainya.
» Mereka yang berminat boleh melayari puripujangga.com