Mahu kekalkan Bocey - Utusan Malaysia

Mahu kekalkan Bocey

ACHEY dan Fad mahu memastikan nama Bocey terus kekal dalam persada hiburan tanah air.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMPOH enam bulan kehilangan rakan karib, belum cukup untuk mengubati kesedihan di hatinya. Pelawak dan penyanyi, Achey, menjelaskan pemergian mengejut Allahyarham Abam, masih berbekas di lubuk hatinya.

Malah sehingga hari ini dia dan seorang lagi anggota Bocey, Fad sentiasa mengimbau pelbagai kenangan bersama arwah setiap kali bertemu.
Ada-ada sahaja kisah menggamit memori mereka berdua untuk dikenang.

Tidak terlintas pun difikiran mereka, membenamkan nama Bocey dalam perjalanan membina kerjaya. Sebaliknya nama Bocey akan terus kekal sebagai legasi, tetapi dalam fasa berbeza.

“Saya dan Fad akan terus bersama Bocey. Legasi itu perlu diteruskan. Sama ada, memiliki penyokong atau tidak, kelakar atau sebaliknya, saya tidak peduli. Apa yang kami mahu adalah jenama Bocey itu diteruskan.

“Sehubungan itu, mengambil orang baharu menggantikan Abam tidak pernah ada dalam perancangan kami. Kalau kami ambil orang lain, maka itu bukan lagi Bocey,” katanya berterus terang.

Abam atau nama penuhnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, meninggal dunia 10 Februari lalu akibat demam panas di kediamannya di Gombak. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Siti Nurhidayah Mohd. Ali dan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey, setahun.

Berkongsi perkembangan terbaharu mengenai kumpulan itu, kata Achey, dia dan Fad kini dalam perancangan untuk mewujudkan saluran YouTube dan media sosial Facebook.

“Buat masa sekarang, Fad sahaja yang sudah mulakan. Menerusi program yang kami aturkan di saluran itu nanti, ada bahagian untuk arwah. Segala yang diraihkan kelak, insya-Allah akan disalurkan kepada keluarganya,” katanya.

Achey atau nama sebenarnya, Mohd. Nasir Hamzah memberitahu ingatannya pada arwah tidak pernah padam. Setiap kali masa terluang, beliau pasti menziarahi pusara teman baiknya itu.

“Saya selalu berulang alik ke Raub, Pahang. Alang-alang itu, saya singgah sekali ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu. Lebih daripada itu, setiap kali saya dan Fad berjumpa, kami akan sedekahkan al-Fatihah dulu pada arwah, kemudian barulah kami bercerita mengenai kerja,” katanya.

 

ACHEY

 

AMBIL TANGGUNGJAWAB

Menunaikan janjinya untuk menyempurnakan kerja arwah yang tergendala secara sukarela dan percuma, Achey turut tidak melupakan amanah yang ditinggalkan Arwah Abam iaitu permata hatinya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia setahun.

“Dialah yang menjadi pengikat hubungan baik bersama ahli keluarga Abam yang lain. Seminggu sekali memang saya akan hubungi isteri arwah bertanya khabar. Malah dalam tempoh sekarang saya juga membantu perniagaan yang dimulakan Hidayah dengan membuat promosi di laman sosial.

“Selain itu saya juga terus mengekalkan hubungan baik dengan ibu dan adik-beradik Abam yang lain,” tambahnya.

Achey, yang juga duta kepada produk wangian SugarBomb, kini dalam perancangan mengeluarkan single terbaharu berjudul Sembuh.

“Tahun ini saya merancang keluarkan tiga single untuk cukupkan lagu di dalam album saya. Jadi lagu yang seterusnya iaitu Sembuh adalah kesinambungan dari lagu Sakit sebelum ini. Insya-Allah ia akan keluar dalam bulan hadapan,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya