Papillon, perkataan Perancis yang membawa makna rama-rama, hasil rekaan pengasas dan pengarah kreatifnya, Datin Belina Abdul Hamid, menampilkan rekaan terkini khusus bagi penggemar gaya tudung urban dan moden.

Majlis pelancaran yang dirasmikan oleh Pengerusi Matrade, Datuk Dr. Noraini Ahmad memperlihat empat rekaan tudung, iaitu Mialitta, Lycena, Umber dan Eufala.

Muncul pertama kali di pentas peragaan yang besar, Papillon boleh berbangga dengan rekaan hijab eksklusif yang menarik perhatian golongan pakar-pakar industri fesyen.

Mengakui masih baharu dalam industri ini, Belina baru enam bulan memulakan projek Papillon. Mengambil konsep rama-rama dan metamorfosisnya yang selembut sutera, Papillon bercadang menyuntik beberapa elemen kreatif ke dalam rekaan menjadikannya lebih menarik.

Menurut Bellina, fesyen tudung di Malaysia semakin mendapat saingan dan setiap wanita ingin tampil secantik mungkin.

“Walaupun fesyen tudung yang bergaya dan cantik biasanya mampu dimiliki sesetengah kumpulan wanita sahaja, namun Papillon dibuat untuk semua. Kami menghasilkan rekaan yang memenuhi keinginan semua wanita.

“Tudung dan Muslimah berkait rapat seperti fesyen dan wanita. Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan. Saya percaya Papillon sangat rapat dengan golongan Hawa.

“Gaya yang signifikan, kelembutan fabrik, kehalusan jahitan, gaya yang sofistikated sesuai untuk wanita moden 
yang sentiasa sibuk. Namun, yang paling istimewa ialah perincian zirkon, swarovski dan batu-batu berkilat yang dijahit pada tudung yang nampak mewah. Kami yakin ini yang menjadi keistimewaan tudung Papillon.

“Papillon bukan sahaja untuk pasaran domestik, tetapi ingin diperkenal ke peringkat antarabangsa. Papillon sangat berbangga dan bersedia mencipta nama sebagai salah satu pengeluar fesyen terkemuka di rantau ini.

“Selain tudung, Papillon turut mempunyai koleksi pakaian 
yang menampilkan gaya anggun dan sofistikated bagi wanita 
yang mahu nampak bergaya ke majlis-majlis atau acara biasa,” katanya. - Gambar A.RAZAK LATIFF