Bila saya memberitahu seorang pesakit kista dalam ovari atau hindung telurnya mengandungi rambut, gigi, tulang dan sebaginya, pesakit sering nampak keliru. Kista dermoid atau teratoma boleh dijumpai pada bahagian tubuh lain seperti mata, tulang, otak dan sebagainya, tetapi tempat paling biasa adalah ovari. Sel dalam embrio pula ialah sel totipotensial.
Ia adalah sel mempunyai kemampuan menjadi tisu dalam badan.
Sekiranya sebilangan sel totipotensial tertanam di ovari, ia tidak aktif atau dorman untuk waktu yang lama. Kelak, ia akan berkembang.
Walaupun, ia tidak mempunyai kemampuan tumbuh menjadi janin penuh, sel ada kemampuan untuk menjadi tisu seperti rambut, gigi, tisu otak dan sebagainya sehingga membentuk kista dermoid.
PUNCA:
1. Kilasan atau pemutaran
Ia berlaku apabila kista berputar di ligamennya. Ini adalah satu kecemasan. Bekalan darah ke kista akan berkurangan apabila kilasan ovari berlaku. Sekiranya pembedahan ditangguhkan, kista boleh menjadi gangren atau mati dan ovari harus dikeluarkan. Jika pembedahan dilakukan dengan cepat, kilasan ovari dapat dipulihkan dan bekalan darah ke ovari akan pulih. Bila ini berlaku, hanya kista di keluarkan dan ovari dapat diselamatkan.
2. Kista pecah
Pemecahan kista dermoid boleh mengakibatkan rasa sakit kerana kandungan kista bertosik dan boleh menyebabkan kerengsaan di perut sehingga menyebabkan kesakitan. Dalam situasi ini, pembedahan perlu segera dijalankan.
3. Infeksi
Kesakitan kadangkala berpunca daripada infeksi dalam kista. Pembedahan perlu dilakukan untuk mengeluarkannya atau sebarang nanah yang ada di dalam kista.
DIAGNOSA:
Kista dermoid biasanya didiagnosa semasa menjalankan ultrasound rutin. Gambar dalam (Rajah 1) menunjukkan bahawa kawasan putih adalah tulang dan kawasan hitam adalah cecair di dalam kista.
Sekiranya doktor tidak yakin dengan diagnosanya, Xray atau CT scan akan di jalankan.

PEMBEDAHAN
Kaedah ini disarankan apabila pesakit merasa simptom sakit. Ada sebilangan pesakit merasai simptom tekanan. Apabila kista menekan pundi kencing, pesakit mungkin merasa kerap ingin membuang air kecil. Manakala apabila ia menekan usus, individu mungkin mempunyai perasaan selalu ingin membuang air besar.
Pembedahan turut disarankan jika saiznya melebihi lima sentimeter (cm). Jika kista kurang daripada itu dan tidak menyebabkan sebarang simptom, pesakit boleh memilih untuk tunggu dan lihat terlebih dahulu.
Pesakit perlu berjumpa dengan doktor dan menjalankan ultrasound setiap enam bulan sekali untuk memantau saiz kista.
Jika kista membesar dengan cepat pembedahan perlu dijalankan.
KAEDAH:
Laparotomi
Laparotomi dijalankan dengan satu luka besar di abdomen. Kista dermoid dikeluarkan melalui luka dan biasanya hanya kista dikeluarkan.
Laparoskopi
Dijalankan dengan menggunakan beberapa sayatan kecil. Kista biasanya diletakkan di dalam beg dan sistektomi atau salpingoophrectomy dilakukan. Kandungan kista kemudian disedut dan kista atau ovari kemudian dikeluarkan dari sayatan 10 milimeter (mm).
Adakah ovari saya hancur semasa pembedahan kista?
Apabila kista dijumpai di dalam ovari, sebahagian dari ovari sudah rosak.
Lebih besar kista dermoid, lebih banyak tisu ovari akan rosak. Bila kista dikeluarkan dari ovari, sebahagian ovari yang sudah rosak akan dikeluarkan. Apa yang tertinggal adalah hanya sebahagian dari ovari itu. Walau bagaimanapun, ovari yang ditinggalkan itu masih ada keupayaan untuk berfungsi dan ia boleh menghasilkan folikel supaya kehamilan boleh berlaku.
Apabila kista dermoid terdapat di kedua-dua ovari, pembedahan mesti dilakukan dengan lebih berhati-hati kerana sebahagian daripada kedua-dua ovari sudah rosak dan perlu dibedah.
Bagaimana mengelakkan kista dermoid daripada berulang?
Adalah mustahil untuk mencegah supaya kista dermoid tidak berulang. Satu-satunya cara adalah untuk mengesannya dengan lebih awal dengan melakukan ultrasound sebagai rutin.
Ultrasound perlu dijalankan dengan kerap dan jika kista tetap kecil dan tidak membesar, ia boleh dibiarkan.
KISTA DERMOID
Biasa terjadi pada wanita berusia antara 15 hingga 50 tahun.
Ada juga didiagnosis selepas menopaus atau pada kanak-kanak perempuan yang berumur kurang daripada 10 tahun.
SIMPTOM
Sebilangan besar pesakit dengan kista dermoid tidak mengalami sebarang gejala.
Walau bagaimanapun, pada beberapa pesakit diagnosa kista dermoid dilakukan ketika pesakit hadir dengan kesakitan bahagian pinggul.
PUNCA
Kilasan atau pemutaran kista
Kista pecah
Infeksi
Barah atau kanser
Bolehkah ia jadi kanser?
Sebilangan besar kista dermoid adalah jinak. Tetapi kadang-kadang kista yang kelihatan seperti kista dermoid mungkin merupakan kanser dipanggil immature teratoma atau teratoma yang belum matang.
Perbezaan antara kista dermoid dan teratoma yang belum matang adalah bergantung kepada jenis sel di dalam kista.
Teratoma kanser ini biasanya dijumpai dalam kalangan wanita berusia kurang daripada 20 tahun. Adalah sukar membuat perbezaan yang pasti di antara kista dermoid dan teratoma yang belum matang dengan ujian darah, ultrasound dan CT scan.
Diagnosis hanya dibuat setelah kista dikeluarkan dan dihantar untuk pemeriksaan patologi.
Bilakah pembedahan di perlukan?
Gejala seperti kesakitan dan simptom tekanan dari kista.
Kista melebihi lima sentimeter.
Saiznya membesar dengan cepat.
——————
PENULIS ialah Pakar Perbidanan dan Sakit Puan di Mahkota Medical Centre Melaka, Malaysia.










