Dalam definisi tepat surrealism merupakan salah satu cabang seni halus yang bermula dengan lakaran sebuah lukisan. Dalam konteks fotografi pula ia telah dicantumkan dengan beberapa kaedah dan teknologi supaya imej dihasilkan nampak lebih menarik sekali gus memberi pemahaman visual kepada pemerhati.

Seni surrealism difahamkan bermula sekitar tahun 1920-an yang mana karya-karya pelukis pada abad itu mampu menyampaikan sebuah maksud tersirat namun bergantung kepada pemahaman kehidupan dan psikologi minda dalam usaha menyampaikan sesuatu mesej.

Pada pandangan penulis, fotografi surrealism adalah satu cabang seni fotografi yang membolehkan satu maksud dalam lakaran gambaran digabungkan dalam konteks imaginasi kreatif. Gabungan dua atau beberapa imej yang dirakam boleh menyampaikan maksud sebenar keseluruhan imej.

Fotografi surrealism juga tertumpu kepada beberapa campuran imej rakaman asal dan menjadi satu imej seni yang nyata berdasarkan idea pemikiran kreatif seseorang jurufoto tersebut. Ia juga lebih dikenali sebagai manipulasi imej dalam konteks seni fotografi secara realiti.

Walaupun manipulasi imej banyak memberi banyak maksud tetapi fotografi surrealism berada dalam konteks berbeza yang mana penghasilan kepada seni ini bergantung kepada realiti kehidupan dan psikologi.

Dalam era fotografi digital kini, fotografi surrealism mudah dilakukan dengan menggunakan perisian Adobe Photoshop dan beberapa perisian percuma dalam apliaksi telefon pintar berbanding zaman era analog apabila memerlukan campuran beberapa negatif filem (film negative) bagi menghasilkan karya tersebut.

Penulis memberi beberapa contoh foto yang merujuk kepada fotografi surrealism ini.