WiEX @MIHAS angkat usahawan wanita tembusi pasaran halal global

WiEX @MIHAS angkat usahawan wanita tembusi pasaran halal global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan melancarkan platform Women in Export (WiEX) menerusi WiEX @MIHAS sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 bagi memperkasa perusahaan milik dan diterajui wanita menembusi pasaran eksport global.

Menurut kenyataannya, inisiatif berlangsung dari 23 hingga 26 September ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu mencerminkan komitmen Matrade untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam perdagangan antarabangsa, khususnya dalam ekonomi halal yang berkembang pesat.

Meneruskan kejayaan Forum WiEX yang diperkenalkan pada tahun lalu, WiEX @MIHAS 2026 bertemakan ‘Advancing Women in the Halal Economy’ dan merangkumi empat komponen utama iaitu Pavilion WiEX, Program Penyumberan Antarabangsa (INSP), Forum WiEX @MIHAS serta Anugerah Wira Ekonomi Wanita.

Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ekonomi halal tidak akan mencapai potensi sepenuhnya tanpa memanfaatkan sepenuhnya bakat dan penyertaan aktif usahawan wanita.

“WiEX @MIHAS meletakkan usahawan wanita di barisan hadapan dalam memacu inovasi, kualiti dan keupayaan menyesuaikan diri dengan pasaran dalam ekonomi halal. 

“Setiap wanita yang berkembang menerusi platform ini membawa kita lebih hampir kepada sasaran eksport halal negara sebanyak RM80 bilion menjelang 2030. Ini bukan sahaja dasar yang baik, malah merupakan strategi ekonomi yang kukuh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abu Bakar Yusof berkata, usahawan wanita kini semakin menjadi pemacu inovasi, pencipta peluang pekerjaan dan penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi merentas pelbagai industri.

“Melalui WiEX @MIHAS 2026, Matrade berhasrat menyediakan ekosistem menyeluruh yang menghimpunkan peluang perniagaan, kerjasama strategik, pembangunan kapasiti dan pengiktirafan dalam satu platform. 

“Inisiatif ini akan melengkapkan perusahaan milik dan diterajui wanita dengan rangkaian, pengetahuan serta akses pasaran yang diperlukan untuk memperkukuh keupayaan eksport dan bersaing di peringkat global dalam pasaran halal,” ujarnya.

Matrade berkata, sebanyak 80 reruai disediakan di bawah Pavilion WiEX, dengan 60 reruai diperuntukkan kepada syarikat Malaysia manakala bakinya untuk peserta antarabangsa.

Menurutnya, pavilion itu akan menghimpunkan usahawan wanita dari Malaysia dan luar negara bagi mempamerkan produk serta perkhidmatan halal, amalan perniagaan mampan dan penyelesaian yang bersedia untuk dieksport.

Bagi memperluaskan peluang perniagaan, Matrade akan membawa masuk 300 pembeli antarabangsa dari pelbagai negara menerusi Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) bagi menghubungkan mereka dengan syarikat tempatan.

Agensi itu menyasarkan untuk memudah cara lebih 120 sesi padanan perniagaan melibatkan syarikat Malaysia yang menyertai Pavilion WiEX.

Selain peluang padanan perniagaan, Forum WiEX @MIHAS yang bertemakan ‘Thriving Through Uncertainty: How Women Exporters Can Adapt, Compete, and Grow’ akan menjadi platform perkongsian ilmu membabitkan pemimpin industri, penggubal dasar dan pengeksport berjaya.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN