KAJANG: Pengeluar kopi istimewa, Arkib Kopi Sdn. Bhd. menyasarkan memperoleh pensijilan halal menjelang tahun depan bagi membolehkan jenama itu menembusi pasaran runcit, hotel dan rangkaian pasar raya, sekali gus memperluaskan segmen pelanggannya.
Lembaga Pengarah dan Pengarah Urusan Awamnya, Mohamed Helmi Ahmad Darki berkata, syarikat kini sedang melaksanakan persediaan termasuk menaik taraf kemudahan pengeluaran dan melengkapkan dokumentasi bagi memenuhi keperluan pensijilan halal.
Beliau berkata, proses itu dijangka mengambil masa kerana melibatkan beberapa peringkat, termasuk kerja pengubahsuaian premis, pengasingan kawasan pengeluaran, latihan kakitangan serta pematuhan dokumentasi.
“Kami menyasarkan penghujung tahun depan untuk memperoleh pensijilan halal. Bagi mendapatkan pensijilan halal, fasiliti perlu memenuhi syarat tertentu seperti pengasingan ruang operasi dan pemprosesan.
“Sebenarnya, kami ada sebuah lagi syarikat pengeluar kopi yang memberi tumpuan kepada sektor komersial iaitu Tatih Coffee Company di Shah Alam. Premis itu memang kami ubah suai dan reka bentuk khusus untuk memenuhi keperluan pensijilan halal,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di premisnya di Taman Sri Raya, Cheras.
Menurutnya, produk Arkib Kopi akan terus dipasarkan di bawah jenama yang sama, namun pengeluaran bagi produk yang mendapat pensijilan halal akan dijalankan di fasiliti berkenaan.
Beliau berkata, pensijilan halal penting bagi membolehkan syarikat memasuki segmen pasaran yang lebih luas, termasuk rangkaian pasar raya, hotel serta premis makanan yang mensyaratkan sijil halal kepada pembekal.
“Kira-kira 60 hingga 70 peratus pengguna di Malaysia adalah beragama Islam dan mereka sangat mengambil berat mengenai status halal sesuatu produk.
“Kami mahu memenuhi penanda aras industri supaya dapat menawarkan produk kepada lebih ramai pengguna,” ujarnya.
Mohamed Helmi berkata, keputusan mempercepatkan usaha mendapatkan pensijilan halal dibuat selepas syarikat terlepas beberapa peluang perniagaan kerana belum mempunyai sijil berkenaan termasuk pembekalan kopi kepada premis yang beroperasi di Tun Razak Exchange (TRX).
“Kami sebenarnya mempunyai peluang untuk membekalkan kopi kepada premis baharu di TRX. Namun ketika proses akhir perbincangan, mereka bertanya sama ada kami mempunyai pensijilan halal.
“Ketika itu kami belum memilikinya. Dari situ kami sedar sudah tiba masanya untuk mendapatkan pensijilan halal kerana ia menjadi keperluan penting untuk memasuki segmen pasaran tersebut,” katanya.
Selain mengembangkan pasaran domestik, beliau berkata, syarikat turut menyasarkan untuk memperluaskan operasi ke luar negara dalam jangka panjang, termasuk di Tokyo, Berlin, New York dan London.-UTUSAN










