PETALING JAYA: ByBakingCorner (BBC) memperkukuh jenama bakeri tempatan menerusi pensijilan halal bagi meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produknya, selain memperluas peluang perniagaan ke pasaran lebih besar.
Pengasas BBC, Ain Fatinah Md. Shukor berkata, syarikat bakeri yang beroperasi di Bukit Baru itu memperoleh pensijilan halal pada 2023 dan kini mempunyai 60 unit simpanan stok (SKU) yang diperakui halal.
Katanya, pensijilan tersebut bukan sahaja meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap produk syarikat, malah membuka lebih banyak peluang pengembangan perniagaan pada masa depan.
“Kami terdorong mendapatkan sijil halal bagi memastikan setiap produk yang dihasilkan benar-benar bersih, selamat dan mematuhi standard ditetapkan.
“Selain itu, semua bahan mentah, proses pengeluaran dan aspek kebersihan operasi turut melalui proses pematuhan serta persediaan halal mengikut piawaian ditetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
ByBakingCorner menjalankan perniagaan makanan yang memfokuskan penghasilan pelbagai jenis kek, pencuci mulut dan produk bakeri seperti kek yang ditempah khas, Burnt Cheesecake, kotak pencuci mulut serta biskut.
Selain jualan harian, syarikat itu turut menerima tempahan bagi pelbagai majlis termasuk sambutan hari jadi, pertunangan, perkhawinan dan acara korporat.
Ain Fatinah berkata, perniagaan tersebut bermula secara kecil-kecilan di rumah pada awal 2015 hasil minat mendalam dalam bidang bakeri dan penyediaan pencuci mulut.
Menurutnya, operasi perniagaan kemudian berkembang susulan sokongan keluarga serta peningkatan permintaan pelanggan sehingga mendorong mereka membuka kedai sendiri.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara cabaran utama dalam mendapatkan pensijilan halal ialah aspek dokumentasi, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan memastikan keseluruhan operasi memenuhi piawaian ditetapkan.
“Walaupun prosesnya mengambil masa dan memerlukan komitmen tinggi, kami melihatnya sebagai pelaburan jangka panjang untuk perniagaan.
“Sijil halal bukan sahaja meningkatkan kredibiliti jenama, malah membantu memperkemaskan sistem operasi, kebersihan dan kualiti produk secara keseluruhan,” katanya.
Beliau turut menggalakkan lebih ramai usahawan makanan dan minuman mendapatkan pensijilan halal bagi meningkatkan daya saing perniagaan masing-masing.
“Usahawan tidak perlu takut untuk memohon sijil halal kerana pensijilan ini membantu memperkemaskan sistem operasi, kebersihan dan kualiti produk secara menyeluruh.
“Walaupun prosesnya mengambil masa dan memerlukan komitmen, manfaatnya amat besar untuk jangka panjang,” ujarnya.-UTUSAN










