Kerja dah dapat, tapi hidup masih sempit

Kerja dah dapat, tapi hidup masih sempit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN semakin ramai anak muda melangkah ke alam pekerjaan, gaji yang rendah masih menjadi halangan utama untuk mereka mencapai kestabilan hidup apatah lagi merealisasikan impian seperti memiliki kereta atau membuat simpanan masa depan.

Pengumuman kerajaan mengenai pelaksanaan gaji hidup (living wage) minimum RM3,100 bagi pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan entiti pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) baru-baru ini, membawa pelbagai perspektif dalam kalangan pekerja sektor swasta yang masih bergaji di bawah angka tersebut.

Bagi Fathinah Uzma Shamsulazhar, 24, yang bekerja sebagai guru tadika swasta dengan gaji kasar sekitar RM2,000 sebulan, berita itu membawa perasaan antara gembira untuk orang lain dan kecewa untuk diri sendiri.

“Bagus untuk mereka, tetapi bila giliran kami yang kerja swasta? Kos hidup semua orang sama, bukan pekerja GLC saja yang beli barang mahal atau bayar sewa rumah.

“Jika tinggal bersama keluarga, gaji saya masih mencukupi. Namun keadaan berubah jika perlu menyewa rumah sendiri dan menanggung komitmen tambahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Fathinah menganggarkan jumlah minimum gaji yang membolehkannya hidup selesa tanpa tekanan kewangan adalah RM3,000 ke atas, satu jumlah yang menurutnya lebih mencerminkan realiti kos hidup hari ini.

“Dengan RM2,000 sekarang, mimpi nak beli kereta pun tak boleh. Itu belum masuk soal simpanan, kahwin, atau bantu keluarga. 

“Saya rasa sedikit kecewa apabila kerajaan seolah-olah hanya memfokuskan kepada pekerja sektor tertentu, sedangkan pekerja swasta juga menyumbang kepada pembangunan negara.

“Gaji berpatutan bukan keistimewaan, tapi keperluan asas. Kalau kerajaan boleh mulakan dengan GLC, bagus, tetapi jangan berhenti di situ. 

“Saya mencadangkan kerajaan merangka pelan jangka panjang yang turut melibatkan sektor swasta agar tiada kumpulan pekerja yang terus ketinggalan. Kalau terus abaikan kami, sampai bila pun jurang itu tak akan tertutup,” tambahnya. 

 

Sementara itu, Dayana Izzati Rizal, 24, yang bekerja sebagai kerani akaun di sebuah syarikat multinasional dengan gaji RM2,000 sebulan, berkongsi nasib hampir serupa.

Sebagai anak sulung dan ketua keluarga, Dayana bukan sahaja menyara dirinya, tetapi turut bertanggungjawab terhadap adik-adiknya yang masih belajar.

“Dah pelbagai cara untuk saya potong kos perbelanjaan harian tetapi duit gaji memang tak cukup langsung dengan komitmen yang ada.

“Saya perlu membayar sewa rumah, bil utiliti, yuran PTPTN, pinjaman motosikal, selain perbelanjaan asas harian.

“Saya dah tak tahu nak jimat macam mana lagi. Kadang-kadang simpanan yang ada pun terpaksa digunakan bila ada kecemasan,” katanya. 

Menurut Dayana, dia amat mengharapkan satu bentuk pelaksanaan gaji hidup yang turut meliputi sektor swasta, bukan hanya GLC atau penjawat awam.

“Kami pun kerja untuk negara. Sama-sama bantu ekonomi berkembang. Kenapa kami tidak diberi peluang untuk hidup dengan bermaruah juga?” katanya.

Tambah Dayana, kadar RM3,100 yang diumumkan sebagai gaji sara hidup adalah satu jumlah yang wajar jika dibandingkan dengan tekanan kewangan yang dihadapi pekerja muda hari ini.

“Kalau gaji sekarang pun dah cukup-cukup makan, macam mana nak bina masa depan? Simpanan, rumah, kereta semua hanya tinggal impian,” tambahnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN