Bekas pensyarah kini usahawan pes kari

Bekas pensyarah kini usahawan pes kari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA sangka pes kari tanpa santan yang mula dijual kepada rakan-rakan pejabat oleh Mohd Salleh Mat Yusop, 44, kini berjaya menembusi pasar raya utama dan meraih jualan ratusan ribu ringgit setahun. 

Itulah kisah kejayaan pengasas KPL Foods Sdn. Bhd. tersebut yang kini mengusahakan produk pes kari dan makanan sedia dimakan (RTE) di bawah jenama Pak Leh.

Sebelum menceburi bidang keusahawanan, Mohd Salleh pernah berkhidmat sebagai pensyarah dan pegawai media di Majlis Amanah Rakyat (MARA). 

Namun selepas 15 tahun dalam bidang pendidikan, dia mengambil keputusan mencabar dan berpindah ke Lenggong, Perak pada tahun 2021, sebelum fokus sepenuhnya pada perniagaan pada 2023.

Mohd Salleh berkata, segalanya bermula sekitar 2018 apabila dia mula menghasilkan pes kari sendiri dan membawa pes itu ke pejabat dan dicuba oleh rakan-rakan sekerja. 

“Saya tanya mereka sama ada mereka suka dengan rasa pes kari saya itu. Dari situ saya mula jual sikit-sikit di bangunan MARA. 

“Sambutan positif daripada rakan sekerja memberi semangat untuk mengembangkan usaha ini secara lebih serius,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ketika berpindah ke Lenggong, Perak, Mohd Salleh melaburkan hampir RM200,000 untuk membina rumah kedai, membeli mesin dan memulakan operasi perniagaan pes makanan tersebut. 

 

Syarikatnya yang pada tahun lalu telah mencapai jualan sebanyak RM100,000 dan mengunjurkan jualan RM300,000 tahun ini sanggup mengambil pinjaman peribadi semasa memulkan perniagaan kerana sukar mendapatkan pembiayaan pada ketika itu. 

“Saya memang ambil risiko untuk membuka dan mengembangkan perniagaan ini.

“Kini, KPL Foods mempunyai lebih 40 Unit Penyimpanan Stok (SKU), termasuk pes kari ikan, kari ayam daging, pes kambing serta makanan sedia dimakan seperti nasi putih ayam halia. 

“Produk menggunakan teknologi retort dan tidak mengandungi bahan pengawet,” ujarnya.

Tambahnnya, pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diperoleh tahun lalu menjadi titik penting dalam pertumbuhan syarikat kerana ia beri keyakinan kepada pelanggan, malah penting membuka peluang untuk ke pasaran eksport.

Jelasnya, 2023 menyaksikan permintaan dari Vietnam dan penghantaran produk ke sana telah bermula. 

Walaupun eksport secara langsung berskala besar belum dimulakan, dia berkata, penyertaan KPL Foods dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) dan jemputan ke Dubai menunjukkan potensi besar. 

Namun begitu, Mohd Salleh mengambil langkah berhati-hati kerana bimbang tidak mampu memenuhi kapasiti jika permintaan mendadak. 

“Buat masa ini, pengeluaran di premis kami di Bougainvillea Utama, Kuala Kangsar adalah sekitar 2,000 hingga 3,000 pek sebulan bergantung kepada permintaan pengedar, dengan keupayaan menghasilkan 1,000 pek sehari. 

“Syarikat juga sedang menunggu ketibaan mesin pembungkusan automatik di bawah geran Jabatan Pertanian bagi meningkatkan kapasiti dan kecekapan operasi.

Tambahnya, yang dikeluarkan syarikat kini boleh didapati di ST Rosyam Mart, Peladang Mart, Billion, Pasar Besar Central Market serta di platform e-dagang TikTok Shop dan Shopee.-UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN