Volkswagen Golf bermula sebagai sebuah model hatchback untuk rakyat kebanyakan di Eropah.
Ia umpama Myvi, di mana semua orang akan membelinya sebagai sebuah kenderaan harian, tak kira usia, jantina atau status sosial mereka.
Namun selepas 50 tahun, Golf sudah bertukar menjadi satu model yang mempunyai peminatnya yang tersendiri, varian-varian yang menawarkan kepelbagaian bentuk badan dan untuk kali pertama di dalam sejarah Volkswagen, ia mula memasang dua varian prestasi Golf di luar negara asalnya, Jerman dan lokasi kilang pemasangan tempatan (CKD) pertama yang dipilih ialah di Pekan, Pahang.
Bermula dalam tahun 2023, Volkswagen memasang varian Golf GTI di Pekan dan setahun selepas itu, ia mula memasang Golf R, varian prestasi paling menggigit bagi model itu.
Golf R Pekan ini hadir dengan pakej R Performance sebagai alatan standard, dan juga satu set lengkap ekzos titanium prestasi tinggi dari Akrapovic.
Ia juga dilengkapkan dengan roda aloi 19-inci Estoril, mod pemanduan tambahan – Drift dan Special serta sistem gantungan sport, lampu-lampu LED dan sistem audio 10-pembesar suara 480 Watt dari Harman Kardon.
Paling penting, enjin 4-silinder EA888 2.0 liter turbo itu ditala untuk menghasilkan 320 PS dan 400 Nm, membenarkan anda membuat pecutan 0-100 kilometer sejam (kmsj) dalam masa 4.8 saat dan halaju yang dibataskan ke 250 kmsj.
Sistem keselamatan seperti barisan beg udara, sistem ADAS IQ Drive serta Adaptive Cruise Control dan banyak lagi juga diberikan sebagai standard.
Bentuk GOlf R ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan kereta-kereta kesayangan anak-anak kita dari Jepun.
Ia tidak perlu mempunyai sayap atau kepak-kepak dan corong ekzos sebesar pemeluk untuk memberitahu ia sebuah jentera agresif.
Ia tidak memerlukan pemandunya yang berusia 40an atau 50an terkinja-kinja dengan pakaian remaja bagi memandu Golf R.
Ia adalah sebuah jentera prestasi yang matang, khusus untuk pemandu yang matang, yang menghargai pemanduan agresif.
Pasaran untuk Golf R ini memang tidak sebesar kenderaan prestasi dari Jepun kerana ia tidak mempunyai daya penarik media sosial yang kuat, tetapi hatchback Jepun ini masih mampu mengukir senyuman besar ketika di selekoh kerana sistem pacuan empat roda dan transmisi DSG tujuh kelajuan yang cukup responsif.
Kawalan pengendalian dari sistem gantungan juga boleh dilaras melalui enam mod pemanduan yang diberikan. Mod Drift memang benar-benar boleh “membantu” anda untuk membuatkan ekor Golf ini terkeluar sedikit.
Malah, jika anda tahu apa yang anda lakukan, Golf R menawarkan kawalan hantaran tenaga ke roda hadapan sepenuhnya, atau roda belakang 100 peratus, atau pembahagian yang mana sesuai dengan cara pemanduan kita.
Ia memang cukup mudah untuk dipandu laju, tetapi di atas litar, dengan pemandu yang berpengalaman, Golf R mudah membaham kereta-kereta ‘bikin’ dengan ekzos perang tanpa perlu berpeluh banyak.
Di atas lebuh raya, mencapai halaju maksimum tidak begitu sukar dan di laluan berliku seperti di jalan Muar ke Segamat melalui laluan Labis, Golf R tidak segan untuk bermain di selekoh dan memberikan cengkaman yang cukup-cukup meyakinkan.
Sayangnya, ekzos titanium mahal itu jauh lebih senyap dari seekor cincurut yang bisu.
Paling penting, Golf R ini meneruskan juga tradisi praktikaliti sebuah Golf, kerana ia adalah sebuah hatchback yang mampu membawa keluarga dengan selesa, ruang but yang memadai dan penggunaan bahan api menjimatkan sekiranya kita tidak memaksa enjin itu bermain kasar.
Jika anda mahukan sesuatu yang glamour di media sosial atau dikalangan anak-anak remaja, ini bukan kereta untuk anda.
Harganya cuma RM334,012 semasa dilancarkan dan jika kita lihat lambakan kereta mewah di jalan raya Malaysia sekarang, rasanya ia bukan suatu angka yang terlalu besar berbanding dengan tahap teknologi dan kemampuan pemanduan Volkswagen ini.
Oh ya, ia juga boleh didapati dengan pakej penyelenggaran lima tahun, lima tahun waranti tanpa had perbatuan dan bantuan kecemasan RoadSide selama lima tahun juga.
Melegakan, bukan?-UTUSAN










