SHAH ALAM: Perkembangan dalam pendigitalan dan keusahawanan menjadi matlamat pemeteraian perjanjian persefahaman (MOU) antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan MBSB Bank Berhad (MBSB) untuk bekerjasama membangunkan peranan kepimpinan institusi perbankan dalam kelestarian ekonomi.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, pendigitalan menjadi solusi kepada landskap ekonomi yang mencabar dan dalam masa sama melihat kerjasama dengan UiTM sebagai berpotensi untuk bergerak secara proaktif bersandarkan kepada konsep Musyarakah.
“Ia selari dengan strategi perkembangan perniagaan untuk kepentingan bersama yang merangkumi semua pemegang taruh dari setiap lapisan masyarakat. Ia termasuk golongan anak muda dan para graduan.
“Oleh itu, kami sentiasa terbuka untuk terlibat dalam menganjurkan program keusahawanan termasuklah simposium, persidangan dan juga penyelidikan industri. Kami mengharapkan penglibatan MBSB Bank akan menyemai semangat keusahawanan yang menjurus ke arah pendigitalan dalam kalangan mahasiswa UiTM,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pemeteraian MOU bersama Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor.
Nor Azam menambah, MoU tersebut turut meletakkan matlamat untuk mengembangkan kerjasama antara universiti dan industri serta berkolaborasi dari segi perkongsian ilmu dan kepakaran antara kedua-dua pihak.
“Menerusi program-program kerjasama tersebut, penekanan akan turut diberikan terhadap aspek pembangunan sahsiah individu bagi mencapai pembangunan modal insan secara holistik demi menjamin ekonomi mampan dan kesejahteraan bangsa, agama dan negara,” ujarnya.
Sementara itu, Roziah berkata, MoU bersama MBSB Bank menjadi sebahagian daripada dasar UiTM yang dirangka secara strategik sehingga 2025.
“Antara objektif utama MoU ini adalah bagi membantu UiTM menjadi kampus digital dengan kampus Puncak Alam selaku perintis. Oleh itu, MBSB Bank akan menjadi tulang belakang bagi menjayakan usaha pendigitalan kampus.
“Selain itu, inisiatif ini juga bakal menggalakkan kerjasama sektor awam dan swasta dalam penjanaan pendapatan dan penambahbaikkan dari segi kebajikan bagi mempromosi pembangunan sosio ekonomi komuniti setempat,” ujarnya. – UTUSAN










