Cegah cukai rentas sempadan

Cegah cukai rentas sempadan

TENGKU ZAFRUL Tengku Abdul Aziz berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Tahunan Ke-51 Kumpulan Kajian mengenai Pentadbiran dan Penyelidikan Cukai Asia-Pasifik (SGATAR) 2022 di Kuala Lumpur, semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia dijang­ka melaksanakan pendekatan dua tonggak dalam percukaian bermula 2024 bagi mewujudkan persekitaran berdaya saing dalam pelaburan langsung asing dan domestik.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pendekatan tersebut bertujuan mencegah pengelakan cukai rentas sempadan.

“Perkara ini (pendekatan dua tonggak dalam percukaian) sedang dikaji buat masa ini dan dianggarkan bermula pada 2024,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan ke-51 Kumpulan Kajian mengenai Pentadbiran dan Penyelidikan Cukai Asia-Pasifik (SGATAR) 2022 di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga berhasrat untuk memper­kenalkan sistem invois elektronik (e-invois) secara berperingkat bermula tahun hadapan dalam meningkatkan kecekapan sistem cukai kerajaan.

Jelasnya, pelaksanaan e-in­vois itu juga akan membantu dalam pelaksanaan ekosistem perniagaan elektronik yang mampan.

“Ia juga akan menyediakan jejak audit yang lebih dipercayai di samping meningkatkan ke­telusan cukai dan dilihat sebagai salah satu strategi utama menambah hasil cukai.

“Ini turut akan melengkapkan salah satu sasaran kerajaan Malaysia kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), iaitu untuk mendigitalkan 90 peratus operasi PKS menjelang 2025.

“Pelaksanaan e-invois juga akan menyokong penggunaan Nombor Pengenalan Cukai (TIN), yang wajib dilaksanakan untuk semua dokumen dan instrumen,” katanya.

Tambahnya, perkara berkenaan merupakan langkah dalam meluaskan kutipan cukai pendapatan serta memastikan sumber hasil yang mampan kepada Kerajaan.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Mohd. Nizom Sairi berkata, dianggarkan lebih 1,000 syarikat multinasional antarabangsa (MNC) yang bakal terlibat secara langsung dengan pelaksanaan pendekatan dua tonggak dalam percukaian apabila dimulakan pada 2024.

Jelasnya, pendekatan itu bertujuan memastikan MNC yang tidak berpangkalan di Malaysia tetapi menjalankan perniagaan secara digital dengan pelanggan mereka dari negara ini, dikenakan cukai secara adil.

“Pendekatan dua tonggak ini secara amnya adalah untuk menangani keadaan ekonomi global semasa dalam pendigitalan untuk mengelakkan MNC yang tidak wujud di sini (Malaysia) tetapi menjalankan perniagaan di sini.

“Jadi macam mana untuk adakan keadilan dari segi hak untuk dikenakan cukai, jadi inilah dia pendekatan dua tonggak untuk berlaku adil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN