PETALING JAYA: MMC Port Holdings Bhd. telah memfailkan tawaran awam permulaan (IPO) kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi penyenaraian pengendali pelabuhan tersebut di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.
Menurut draf prospektus itu, MMC Corporation Berhad yang merupakan syarikat induknya memiliki 100 peratus daripada MMC Port akan menjual sehingga 30 peratus kepentingan dalam syarikat tersebut dalam tawaran IPO terbabit.
“Tawaran IPO MMC Port merangkumi sehingga 4.27 bilion saham, termasuk 3.99 bilion saham untuk pelabur institusi dan 286.1 juta saham untuk runcit,” katanya darf tersebut.
Draf prospektus tidak menyatakan saiz IPO atau jadual bila ia akan disenaraikan.
MMC Port mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM636.56 juta pada 2024 daripada RM701.13 juta pada 2023, manakala hasil meningkat hampir 10 peratus kepada RM4.36 bilion.
Syarikat itu adalah sebahagian daripada MMC Corporation yang dinyah senarai dalam penswastaan yang menilai syarikat itu lebih RM6 bilion pada 2021.
Reuters melaporkan pada Februari bahawa penyenaraian MMC Port boleh mengumpul lebih RM6 bilion seawal separuh kedua tahun ini, memetik dua sumber yang mengetahui perkara itu.
Pengendali pelabuhan itu dijangka akan menawarkan IPO terbesar Malaysia dalam tempoh 13 tahun. – UTUSAN