KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia yang pelbagai membolehkannya menahan risiko daripada pertumbuhan ekonomi China yang lebih perlahan kerana negara itu tidak terlalu bergantung kepada satu rakan perdagangan atau industri tertentu, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, China adalah rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia dan ia menyumbang 13.6 peratus daripada jumlah perdagangan negara.
“Walaupun pembukaan semula China kekal menyokong ekonomi global, kami mengakui bahawa kadar pemulihannya telah perlahan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
“Namun begitu, ekonomi Malaysia mempunyai kepelbagaian yang baik dari segi produk dan rakan dagang, justeru ia mampu mengimbangi kesan yang datang dari China.
“Sebagai sebuah ekonomi terbuka yang kecil, Malaysia dipengaruhi oleh kelembapan permintaan global. Seperti ekonomi serantau lain, eksport Malaysia juga merosot pada suku kedua 2023.
“Ini didorong terutamanya oleh barangan perkilangan yang lebih lemah di tengah-tengah kemerosotan dalam kitaran teknologi global dan harga komoditi yang lebih rendah,” katanya pada sidang akhbar pengumuman prestasi KDNK Suku Kedua 2023 di sini, hari ini.
Beliau juga menyatakan bahawa jualan semikonduktor global yang telah merosot menunjukkan tanda-tanda tentatif untuk mencapai titik terendah.
Secara keseluruhan katanya, pertumbuhan ekonomi global lebih perlahan tahun ini, terutamanya disebabkan oleh tekanan kos yang tinggi, kadar faedah tinggi serta kadar barangan yang lebih lemah.
“Pertumbuhan global dijangka berada di bawah purata jangka panjang tetapi kami tidak menjangkakan kemelesetan global keseluruhan.
“Namun begitu, pertumbuhan dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal disokong dengan baik oleh daya tahan permintaan dalam negeri dan keadaan pasaran buruh yang kukuh,” katanya. – UTUSAN










