Paramount sasar nilai jualan hartanah RM1.2 bilion 2023

Paramount sasar nilai jualan hartanah RM1.2 bilion 2023

JEFFREY Chew Sun Teong (kanan) dalam sidang akhbar laporan prestasi Paramount 2022 di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Syarikat pemaju hartanah, Paramount Corporation Berhad (Paramount) optimis untuk mencapai sasaran jualan hartanah sebanyak RM1.2 bilion pada tahun ini selepas peningkatan sehingga 37 peratus dalam sektor itu dicatatkan tahun lalu berbanding 2021.

Malah, syarikat itu turut mengunjurkan pelancaran projek hartanahnya merangkumi perumahan, komersial dan industri bernilai RM1.5 bilion selepas peningkatan 40 peratus atau RM1.2 bilion projek dilancarkan tahun lalu berbanding sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Jeffrey Chew Sun Teong berkata, peningkatan tersebut dilihat ketara menandakan pemulihan jualan dalam sektor hartanah pasca Covid-19.

“Dalam tahun kewangan 2022, Paramount menjual 1,612 unit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.1 bilion berbanding 1,062 unit dengan GDV RM716 juta pada 2021. Tiga projek penyumbang terbesar adalah Sejati Lakeside di Selangor, Utropolis Batu Kawan di Pulau Pinang dan Bukit Banyan di Kedah.

“Selain itu, hartanah tidak terjual turut mencatatkan penurunan sebanyak 19 peratus iaitu jatuh kepada RM58 juta. Bagaimanapun, daripada jumlah tersebut Paramount mengoperasikan hartanah komersialnya sebanyak RM31 juta untuk kegunaan sendiri pejabat dan galeri jualan,” katanya dalam sidang akhbar laporan prestasi syarikat 2022, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan sentimen penjualan hartanah negara ini berada dalam keadaan baik walaupun berdepan kenaikan pelbagai kos termasuk pembinaan.

“Pasaran hartanah kini tidak berdepan dengan isu permintaan secara keseluruhan. Permintaan wujud, namun isu sebenar adalah tawaran terhadap hartanah. Ini kerana pemaju kini memerhatikan prestasi keuntungan sebelum kembali menawarkan produk masing-masing memandangkan kos bahan binaan semakin naik.

“Penawaran dan permintaan terhadap produk-produk hartanah masih seimbang kerana pembeli sedar harga rumah akan terus naik berikutan peningkatan kadar inflasi,” jelasnya.

Katanya lagi, Paramount pada tahun ini melancarkan tujuh projek perumahan, daripada keseluruhan RM1.3 bilion GDV, RM817 juta  melibatkan projek sedia dan RM700 juta bagi perumahan baharu di Sungai Petani, Kedah; Paramount Palmera, Pulau Pinang dan Jalan Ampang, Kuala Lumpur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN