GLC perlu dikendali profesional - Utusan Malaysia

GLC perlu dikendali profesional

PELABURAN GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu dikendalikan oleh profesional sekali gus memberi isyarat kepada pelabur antarabangsa dan swasta bahawa negara sentiasa mengamalkan ketelusan dalam pengurusannya.

Menurut pakar sektor awam utama Bank Dunia, Rajni Bajpai, pada masa hadapan, kerajaan juga perlu melihat keperluan untuk mereka berada dalam perniagaan tersebut dan sebaliknya.

“Mungkin mereka telah berkhidmat selama 20 tahun namun sudah tidak relevan. Perkara ini bukan untuk menyingkirkan sesiapa, tetapi mungkin individu tersebut boleh dilatih semula dan diletakkan di bahagian bersesuaian bagi pengurusan yang lebih efisien.

“Ini juga akan memberikan persaingan yang lebih setara untuk sektor swasta dan awam, yang mempunyai implikasi jangka panjang terhadap pertumbuhan,” katanya dalam perbincangan panel bertajuk Menghapuskan Rasuah: Peranan Utama Sektor Awam semasa Persidangan Institut Akauntan Malaysia (MIA) secara maya, semalam.

Jelas beliau, selain mendapatkan pengurusan profesional dan bebas daripada campur tangan politik, mengaudit, meneliti perbelanjaan serta akaun GLC akan turut membantu proses mereformasi GLC di negara ini.

“Mengenai tahap rasuah yang dirasakan di sektor awam, terdapat perbezaan ketara antara rasuah berskala kecil dan yang berskala besar.

“Kebanyakan negara menggunakan teknologi secara efektif bagi menangani rasuah berskala kecil dan ini hanya akan berhasil dengan penyediaan ‘komponen analog.’

“Teknologi harus digunakan sebaiknya dan kerajaan perlu mendidik masyarakat mengguna pakai teknologi tersebut manakala sektor awam perlu bersiap siaga mengaplikasikannya dengan tujuan yang tepat,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Transparency International New Zealand, Julie Haggie memaklumkan, pendekatan proaktif terhadap ketelusan secara tidak langsung akan membina kepercayaan.

“Terdapat banyak cara untuk membina budaya integriti dalam organisasi dan kebertanggungjawaban dalam perkhidmatan awam, namun ia perlu bermula dari atas.

“Malaysia telah menunjukkan kemajuan dalam menangani rasuah namun perlu memperbaiki pelaksanaan Undang-undang Perkhidmatan Awam supaya dapat membendung rasuah dengan lebih efektif,” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya