Epic Universe bawa pengunjung rentas empat dimensi ajaib

Epic Universe bawa pengunjung rentas empat dimensi ajaib

Dunia Isle of Berk yang diinspirasikan dari filem How To Train Your Dragon penuh dengan binaan memukau. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SARAT dengan landskap pintar dan kesan visual yang memukau, taman tema Epic Universe bakal menjanjikan pengalaman unik meneroka alam fantasi yang tidak akan dapat dilupakan pengunjung apabila dibuka secara rasmi di Florida pada 22 Mei ini.

Taman tema ketiga Universal Orlando Resort yang bakal tersenarai sebagai paling besar dan termahal dunia ini direka dengan dimensi dunia filem fantasi popular serta ruang luas untuk para pengunjung berehat sebelum memulakan pengembaraan epik mereka.

Sebelum memasuki setiap dunia bertema, pengunjung perlu melalui ‘portal ajaib’ menggunakan muzik, landskap kreatif serta kesan visual canggih untuk mencipta detik pendedahan mengejutkan dan penuh debaran.

Portal-portal ini seolah-olah membawa pengunjung merentas masa dan ruang, sama ada ke Paris era 1920-an atau ke Kampung Darkmoor berdasarkan filem-filem seram klasik Universal dari era 1930-an hingga 1950-an yang dihuni raksasa menggerunkan.

Menurut pemilik firma perunding International Theme Park Services, Dennis Speigel, taman tema mega yang menelan kos pembinaan mencecah AS$7.7 bilion (RM33.93 bilion) ini dibangunkan oleh Universal Destinations & Experiences milik Comcast, selepas diumumkan enam tahun lalu.

Berkeluasan lebih 40 hektar, Epic Universe menempatkan 12 permainan dan tarikan utama, 32 pilihan tempat makan, dua persembahan, 21 buah kedai serta pelbagai lokasi pertemuan bersama watak ikonik dari filem-filem animasi seperti How To Train Your Dragon mahu pun Harry Potter.

“Rekaan dan teknologi terkini memainkan peranan penting dalam mencipta pengalaman mengasyikkan yang membuatkan pengunjung seolah-olah benar-benar berada dalam dunia fantasi, terasing sepenuhnya daripada dunia nyata.

“Antara tarikan utama adalah Stardust Racers, roller coaster berkembar berkelajuan tinggi dan Constellation Carousel yang berputar indah dengan haiwan beranimasi berpusing dalam arah berbeza, satu tarikan visual menakjubkan, terutamanya pada waktu malam.

“Namun, itu baru permulaan. Dari taman pusat ini, pengunjung boleh memilih untuk meneroka empat dunia berbeza melalui portal masing-masing,” jelas Speigel.

Pembinaannya dibuat secara eksklusif dengan hanya satu struktur luar boleh dilihat dari setiap dunia Epic Universe iaitu Hotel Helios yang berkilauan di tengah-tengah taman tema.

Di dalam dunia Dark Universe, tetamu akan menemui raksasa ikonik seperti Dracula, Wolf Man dan Invisible Man.

Tarikan utamanya adalah Monsters Unchained: The Frankenstein Experiment yang menggunakan teknologi robotik paling realistik dan canggih pernah dibina.

Sementara itu, portal menuju ke Wizarding World of Harry Potter: Ministry of Magic membawa pengunjung ke Paris sekitar tahun 1920-an dari siri Fantastic Beasts, lengkap dengan suasana jalanan, kedai dan restoran yang mempesonakan.

Pengunjung akan mengembara menyelusuri masa melalui terowong metro menuju ke London era 1990-an, selepas siri utama Harry Potter berakhir untuk menyertai pengalaman interaktif Harry Potter: Battle at the Ministry.

Dalam permainan ini, para pengunjung akan menaiki lif pelbagai arah untuk memburu watak Dolores Umbridge, yang sedang dibicarakan di Kementerian Sihir.

Portal ketiga pula membawa tetamu ke dunia How to Train Your Dragon, menjadikannya taman tema pertama di dunia yang khusus untuk francais terkenal itu.

Selepas kejayaan di lokasi taman tema Universal di Jepun dan Hollywood, Super Nintendo World hadir ke Epic Universe melalui portal keempat, membawa bersama permainan bertemakan Donkey Kong yang mendebarkan serta perlumbaan go-kart berteknologi tinggi diinspirasikan daripada siri Mario Kart.

Para pengunjung juga boleh memakai gelang khas Power-Up untuk mengambil bahagian dalam pelbagai permainan interaktif dan mengumpul mata, seolah-olah mereka berada di dalam permainan video sebenar, dikelilingi oleh dunia penuh warna-warni dan aksi.

Seperti taman tema lain, harga tiket Epic Universe berubah bergantung kepada musim dan jangkaan jumlah pengunjung.

Tiket satu hari bermula pada AS$139 (RM612) untuk dewasa dan AS$134 (RM590) untuk kanak-kanak berusia tiga hingga sembilan tahun, tidak termasuk cukai.

Tiket paling mahal dijangka mencecah AS$199 (RM878) ketika musim cuti hujung tahun pada Disember sementara pakej tiket berbilang hari juga tersedia, dengan harga harian yang lebih rendah berbanding tiket sehari.

Walaupun pasaran saham tidak menentu dan Goldman Sachs meramalkan kemungkinan kemelesetan ekonomi semakin meningkat, Speigel masih optimistik sekurang-kurangnya enam juta pengunjung akan melawat Epic Universe dalam tahun pertama pembukaannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×