Saintis Australia hasilkan embrio kanggaru guna IVF

Saintis Australia hasilkan embrio kanggaru guna IVF

SAINTIS Australia berjaya menghasilkan embrio kanggaru pertama di dunia melalui proses IVF. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAINTIS Australia mencipta sejarah apabila berjaya menghasilkan embrio kanggaru pertama di dunia melalui proses persenyawaan in vitro (IVF).

Pencapaian itu dijangka mampu membantu usaha menyelamatkan spesies lain daripada kepupusan.

Menggunakan spesimen daripada kanggaru eastern grey, para penyelidik berjaya menyuntik satu sel sperma ke dalam telur kanggaru.

Namun, untuk mencapai kelahiran hidup, masih banyak kajian dan kemajuan teknikal diperlukan.

Ketua penyelidik, Dr. Andres Gambini berkata, kejayaan ini memberikan pemahaman penting mengenai pembiakan marsupial.

Usaha tersebut juga boleh membantu meningkatkan kepelbagaian genetik spesies terancam seperti koala, Tasmanian devil, wombat berhidung berbulu utara dan leadbeater possum.

Australia merupakan negara yang menempatkan pelbagai spesies mamalia marsupial terbesar di dunia, namun turut mencatat kadar kepupusan mamalia tertinggi.

Eksperimen yang dijalankan di Universiti Queensland ini meneliti pertumbuhan telur dan sperma kanggaru dalam persekitaran makmal sebelum mencipta embrio menggunakan kaedah suntikan sperma intracytoplasmic (ICSI).

“Teknik berkenaan sebelum ini digunakan untuk manusia dan haiwan domestik tertentu dan dalam kajian ini, ia diterapkan pada kanggaru eastern grey yang telah mati.

“Spesies ini dipilih kerana tidak terancam dan mempunyai populasi yang tinggi,” jelas Gambini.

Saintis berkata, meskipun spesies marsupial sangat ikonik di Australia serta memainkan peranan penting dalam kepelbagaian bio, kajian terhadap tisu haiwan ini masih terhad.
“Kami kini sedang memperhalusi teknik untuk mengumpul, mengkultur dan memelihara telur serta sperma marsupial,” kata Gambini sambil menambah kaedah ini akan memainkan peranan penting dalam melindungi bahan

genetik haiwan unik dan berharga ini.

IVF kini digunakan sebagai alat untuk membantu memelihara spesies terancam di seluruh dunia.

Tahun lalu, saintis berjaya mencipta sejarah apabila menghasilkan kehamilan badak sumbu pertama di dunia melalui IVF dengan memindahkan embrio badak yang dicipta di makmal ke ibu tumpang di Kenya.

Pada 2018, teknik IVF juga digunakan untuk menghasilkan embrio keldai pertama di dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×