BUAT pertama kalinya, kawasan di luar bumi iaitu bulan disenaraikan sebagai tapak bersejarah yang terancam oleh Dana Monumen Dunia (WMF).
Badan organisasi bukan keuntungan antarabangsa itu mendedahkan 25 tapak warisan yang berisiko terdedah bahaya setiap dua tahun.
Dana itu memasukkan Bulan dalam Senarai Pantauan 2025 kerana kemunculan zaman angkasa baharu yang mencatatkan 90 tapak bersejarah berkaitan dengan kehadiran manusia di atas permukaannya.
Tapak-tapak ini termasuk Pangkalan Tranquility di mana manusia pertama kali menjejakkan kaki ke Bulan.
Tapak pendaratan itu mengekalkan cetakan but Angkasawan Amerika Syraikat (AS), Neil Armstrong serta lebih daripada 100 artifak lain dari misi Apollo 11.
“Buat pertama kalinya, Bulan disertakan dalam senarai pantauan bagi mencerminkan keperluan mendesak untuk mengenali dan memelihara artifak yang membuktikan langkah pertama manusia melangkaui Bumi.
“Detik penentuan penting dalam sejarah kita bersama,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif badan itu, Benedicte de Montlaur dalam satu kenyataan.
De Montlaur berkata, peralatan seperti kamera yang merakam pendaratan Bulan di televisyen, cakera peringatan yang ditinggalkan oleh Armstrong dan Buzz Aldrin serta beratus-ratus objek lain adalah lambang warisan ini.
Namun, ia menghadapi risiko yang semakin meningkat di tengah-tengah aktiviti lunar yang semakin pantas berkembang dan dilakukan tanpa protokol pemeliharaan mencukupi.
“Kebangkitan semula aktiviti manusia, termasuk industri angkasa komersial yang berkembang pesat meletakkan Bulan dalam risiko.
“Penerokaan berlebihan akhirnya boleh menjejaskan warisan budaya yang benar-benar unik, menghilangkan artifak dan memadamkan selama-lamanya bekas tapak but Armstrong dan jejak ikonik di permukaan Bulan.
“Justeru, kemasukan Bulan dalam senarai kami menekankan keperluan sejagat untuk strategi proaktif dan kerjasama bag melindungi tapak warisan istimewa ini sama ada di Bumi atau luar angkasa yang mencerminkan dan melindungi naratif kolektif kami,” tambahnya.
Sejak WMF melancarkan senarai pantauannya pada 1996, ia telah menyumbang lebih daripada AS$120 juta (RM533.94 juta) kepada projek di hampir 350 tapak warisan.
Lokasi lain yang disenaraikan menghadapi cabaran besar seperti perubahan iklim, pelancongan berlebihan, bencana alam dan konflik.
Antara yang memasuki senarai tahun ini termasuk Gaza City angkara peperangan Israel yang bukan sahaja mengorbankan puluhan ribu nyawa tetapi juga memusnahkan banyak tapak budaya dan bangunan bersejarah di rantau itu seperti masjid serta gereja.
Turut tersenarai ialah Kyiv’s Teacher’s House, bekas bangunan perundangan yang rosak teruk dan menonjolkan kesan pencerobohan Russia terhadap masyarakat dan warisan di Ukraine.-UTUSAN










