HAT YAI adalah sebuah bandar yang terletak di selatan Thailand dan merupakan bandar terbesar di wilayah Songkhla.
Ia terletak tidak jauh dari sempadan Malaysia dan terletak kira-kira 946 kilometer di selatan Bangkok.
Nama Hat Yai berasal daripada perkataan Thailand yang bermaksud ‘pantai besar’ yang mencerminkan lokasinya berhampiran laut.

Ia merupakan sebuah pusat bandar yang hidup dan dinamik, terkenal dengan sejarahnya, dipenuhi kepelbagaian budaya dan gabungan pengaruh tradisional dan moden.
Kebanyakan pelancong adalah datang dari Malaysia dan Singapura yang gemar berkunjung ke sini kerana kebanyakan barangan di Hat Yai jauh lebih murah dari Bangkok.
Lokasi ini mendapat jolokan ‘syurga makanan’ kerana ibaratnya anda hanya membayar separuh harga daripada jumlah yang perlu dibayar bagi menu sama di Bangkok.
Kedekatan bandar ini dengan Malaysia menjadikannya tempat transit popular untuk pelancong yang melintasi sempadan.
Baru-baru ini, hanya dalam tempoh empat hari, dianggarkan lebih RM100 juta mengalir ke Thailand berikutan hampir 100,000 pelancong dari Malaysia mengunjungi negara jiran itu.
SEJARAH ASAL

Sejarah Hat Yai bermula pada awal abad ke-20, ketika ia adalah sebuah perkampungan kecil.
Bandar ini semakin berkembang apabila Kereta Api Selatan diperluaskan ke kawasan itu pada awal abad ke-20.
Kereta api itu memainkan peranan penting dalam menghubungkan Hat Yai ke bahagian lain di Thailand dan negara jiran, menjadikannya hab pengangkutan yang penting.
EKONOMI & INDUSTRI
Ekonomi Hat Yai penuh kepelbagaian dengan beberapa industri menyumbang kepada pertumbuhannya.
Bandar ini berfungsi sebagai pusat perdagangan utama di selatan Thailand.
Aktiviti ekonomi utamanya termasuk sektor peruncitan, borong, hospitaliti dan pelancongan.
Pasar Kim Yong terkenal dengan pelbagai barangan, termasuk produk tempatan dan cenderamata.

Ia turut disokong oleh sektor pertanian seperti penanaman getah, kelapa sawit dan buah-buahan yang memainkan peranan yang besar dalam ekonomi serantau.
Masa depan Hat Yai mungkin dipengaruhi oleh lokasinya yang strategik di wilayah selatan Thailand, serta peranannya sebagai hab pengangkutan utama yang menghubungkan selatan Thailand dengan Malaysia.
Bandar ini terus berkembang sehingga ke hari ini apabila perdagangan dan pelancongan di rantau ini kian berkembang.
ANTARA TARIKAN UTAMA:
Pasar Kim Yong
Pasar yang penuh kesibukan ini terkenal dengan pelbagai pilihan barangan termasuk pakaian, barangan elektronik, barangan segar dan produk tempatan.
Bazar Malam ASEAN dan Pasar Malam Greenway
Kedua-dua lokasi ini menyajikan pengalaman membeli-belah dan menjamu selera yang luar biasa. Ia popular dalam kalangan pelancong yang mencari produk tempatan, barangan antarabangsa dan barangan mesra alam di Hat Yai.
Bazar Malam ASEAN merupakan pasar malam terbesar yang beroperasi dari pukul 4.30 petang hingga 10 malam. Pelbagai makanan tular boleh didapati di pasar dua tingkat ini.
Pasar Terapung Khlong Hae
Merupakan destinasi yang cukup unik dan wajib dikunjungi apabila berkunjung ke Hat Yai. Majoriti penjual akan berada di dalam sampan di tebing sungai dan pelanggan hanya perlu berjalan di kawasan jambatan untuk membeli. Antara yang terlaris adalah minuman yang dijual di dalam bekas tembikar dan buluh.
Masjid Besar Wilayah Songkhla
Menjadi lambang kewujudan agama Islam di wilayah ini. Masjid terbesar di Songkhla ini sering menerima kunjungan pengunjung dari Malaysia bagi menyaksikan keindahan seni binanya.
Masjid yang mula dibuka kepada orang ramai pada 2001 ini mempunyai bentuk bangunan yang seakan-akan Masjid Taj Mahal serta mempunyai kolam besar di hadapannya.
Infrastruktur dan ketersalinghubungan pengangkutan yang lebih baik di dalam Thailand dan merentasi sempadan memacu pembangunan di kawasan bandar. – UTUSAN










