KERJAYA doktor adalah profesion mulia dan sangat dihormati di seluruh dunia. Bidang ini sangat berkait rapat tentang kerjaya menyelamatkan nyawa manusia.
Bekerja sebagai doktor bukan sahaja tentang tawaran gaji yang tinggi, ia juga adalah kemahiran dan kepakaran yang boleh membantu perkembangan kerjaya pada masa depan.
Berpindah ke negara baharu akan memberikan anda pendedahan global yang diperlukan serta pengalaman hidup berbeza.
Jika anda membuat keputusan untuk berpindah ke luar negara sebagai doktor atau pakar perubatan, apa kata pertimbangkan pilihan negara berikut:

1 SWITZERLAND
Switzerland menghuni carta teratas negara yang paling tinggi membayar gaji doktor dan penjagaan kesihatan profesional lain.
Negara ini dikenali dengan sistem penjagaan kesihatan yang termoden dan piawaian tinggi menjalani rutin kehidupan harian.
Bahkan, untuk mempunyai permit kerja juga sangat mudah sekiranya anda menepati semua syarat yang dikehendaki.
Banyak program latihan yang disediakan bagi golongan profesional untuk membiasakan diri dengan suasana kerja di negara ini.
* Gaji permulaan: Mencecah sehingga 130,000 swiss franc setahun (RM670,000)
* Doktor pakar: Mencecah sehingga RM170,000 swiss franc setahun (RM876,000)
* Syarikat terkenal: Roche, LabCorp, Novartis, Bayer
* Bandar tersohor: Zurich, Basel dan Geneva

2 KANADA
Sektor pekerjaan dan peluang kerjaya dalam bidang kedoktoran sangat meluas di semua bandar di negara ini.
Kanada ialah sebuah negara yang sangat maju dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh sekaligus menjadi tumpuan pencari kerja seperti jururawat dan doktor dari seluruh dunia.
Berhijrah ke Kanada sebagai doktor adalah sangat mudah kerana prosedur imigresen yang tidak merumitkan.
Selain tawaran gaji tinggi, pelbagai manfaat disediakan seperti faedah sosial, taraf hidup yang hebat, keseimbangan kerja dan kehidupan serta peluang mengembangkan kerjaya di peringkat global.
* Gaji permulaan: purata 100,000 – 120,000 dolar Kanada setahun (RM343,000-RM411,000)
* Doktor pakar: purata 250,000 – 320,000 dolar Kanada setahun (RM857,000 – RM1.09 juta)
* Syarikat terkenal: University Health Network, Vancouver Coastal Health
* Bandar tersohor: Toronto, Montreal, Vancouver

3 LUXEMBORG
Merupakan antara negara Eropah terkaya dengan sektor penjagaan kesihatan yang berkembang maju.
Luxemborg adalah lokasi kepada beberapa universiti perubatan yang berprestij yang memberikan anda peluang melanjutkan pengajian perubatan ke peringkat lebih tinggi.
* Gaji permulaan: Bermula 75,000 pound setahun (RM381,000)
* Gaji pakar: cecah 230,000 pound setahun (RM1.16 juta)

4 AMERIKA SYARIKAT
Merupakan antara destinasi pilihan bagi golongan doktor mencari peluang pekerjaan. Ini kerana, peluang kerjaya yang meluas, tawaran gaji tinggi serta proses imigresen yang mudah serta kualiti hidup yang tinggi.
Sejak beberapa tahun lalu, banyak hospital dan syarikat penjagaan kesihatan mula mengambil doktor dari seluruh dunia. Mendapat tawaran kerja sebagai doktor sangat mudah sekiranya anda mempunyai kemahiran, kelayakan dan pengalaman.
* Gaji permulaan: Bermula AS$75,000 setahun (RM353,000)
* Gaji pakar: cecah AS$200,000 setahun (RM941,000)
* Syarikat terkenal: Pfizer, CVS Health, Abbott Laboratories
* Bandar terkenal:
New York, San Francisco. –UTUSAN










