Perkampungan miniatur tikus bantu Simon Dell ubati kemurungan

Perkampungan miniatur tikus bantu Simon Dell ubati kemurungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEORANG lelaki membina sebuah perkampungan miniatur tikus comel bertemakan Hobbit di taman rumahnya demi untuk menghilangkan tekanan dan mengubati masalah kemurungan yang dialaminya.

Simon Dell, 50, melihat seekor tikus liar di kawasan halaman belakang di South Yorkshire pada 2018 dan mendapat inspirasi untuk membina sebuah rumah untuk haiwan itu dan merakam gambarnya.

Dell mula mengumpulkan kayu-kayu kecil dan membina kawasan perkampungan miniatur unik yang menem­patkan sebuah pub, kedai buku dan rumah ala Hobbit yang diilhamkan daripada filem Lord of the Rings.

Taman Dell benar-benar menjadi syurga bagi tikus liar dan dia sering berkongsi gambar terkini makhluk comel yang menginap di perkampungan itu dengan lebih 150,000 pengikutnya di media sosial.

Selepas menyelamatkan seekor tikus yang diberi nama George, Dell mula menambah lebih banyak rumah di sebelahnya dan dalam beberapa hari, lebih banyak tikus mula bergerak masuk.

Jurugambar hidupan liar itu mula menambah lagi rumah-rumah kecil, membentuk meja makan yang terperinci, tandas, motosikal dan juga dumbel khas untuk kecerdasan tikus-tikus itu.

Kini enam tahun berlalu, Simon berkata, terdapat sekurang-kurangnya 20 ekor tikus daripada dua kumpulan keluarga yang tinggal di perkampungan buatannya itu.

“Saya memulakan konsep perkampungan tikus ini sejak 2018 dan banyak perkembangan serta perubahan yang berlaku kini.

“Segala-galanya dibuat dengan tangan menggunakan kepingan kayu balak lama atau apa sahaja yang saya temui dalam jangkauan atau barang buangan yang saya rasakan boleh dikitar semula.

“Saya juga menggunakan dua but lama saya yang ditukar menjadi rumah tikus dan saya berusaha menyediakan semua jenis kemudahan yang anda akan dapati di kampung atau bandar sebenar,” katanya.

Dell berkata, kampung tikus itu memberi ketenangan yang amat diperlukan bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga kepada semua pengikutnya yang turut berjuang untuk keluar daripada masalah kemurungan.

“Memandangkan saya selalu mengalami kemurungan, insomnia dan kebimbangan, mereka sentiasa ada untuk menyokong saya dalam masa senang atau susah dan ramai mendapati foto dan video perkampungan tikus saya juga sering membantu membuat mereka tersenyum setiap hari serta menaikkan mood mereka.

“Itulah yang sentiasa menjadi matlamat saya, untuk membuat orang lain tersenyum bersama selain memastikan minda dan badan saya aktif. Tanpa fotografi dan keseronokan membuat rumah comel untuk haiwan kecil ini, saya mungkin boleh tenggelam semula ke dalam kemurungan yang teruk.

“Fotografi memberi saya alasan untuk bangun dan keluar semula dan kampung tikus mengembalikan senyuman saya. Saya harap ia juga memberi orang lain kegembiraan serupa yang diberikan kepada saya,” katanya.

Menurut Dell, warganet yang berminat untuk melihat perkampungan tikus hasil kerja tangannya boleh mengikuti George the mouse dan rumah longgokan balaknya di laman Facebook, YouTube dan TikTok. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN