MAN Malaysia anjur penyerahan terbesar Trak MAN baharu

MAN Malaysia anjur penyerahan terbesar Trak MAN baharu

BARISAN Trak Man baharu menggunakan enjin Euro V yang bakal diserahkan kepada pelanggan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MAN Truck & Bus (M) Sdn. Bhd. telah menyerahkan Trak MAN Baharu dengan enjin Euro V, kepada 14 pelanggan dari seluruh negara yang merangkumi pelbagai segmen ekonomi dalam acara penyerahan terbesar yang pernah diadakan setakat ini.

Antara pelanggan trak itu ialah Juta Cahaya Gemilang Sdn. Bhd. dan Sikap Mawar Sdn. Bhd. dari Pulau Pinang; Mekar Angkut Sdn. Bhd.; Pancaran Matahari Logistics Sdn. Bhd. di Kelantan dan Zha Pengangkutan Sdn. Bhd. dari Terengganu.

Majlis penyerahan dilakukan oleh Naib Presiden Kanan dan Ketua bagi Kawasan Jualan Antarabangsa MAN Truck & Bus SE, Roman Sitte yang mengunjungi Malaysia buat julung kalinya.

MAN Malaysia dalam kenyatan memberitahu, 10 daripada pelanggan terbabit merupakan pelanggan MAN kali pertama dan ia mencerminkan keyakinan yang kian meningkat dalam kalangan ahli industri logistik terhadap penyelesaian yang dibawakan oleh jenama dari Jerman itu.

Sitte memuji pelanggan Malaysia kerana berpandangan jauh dan kesanggupan mereka untuk menerimapakai teknologi dan menyertai usaha ke arah kemampanan.

“MAN mempunyai sejarah yang panjang di negara ini yang merangkumi lebih tiga dekad. Bagaimanapun, sepanjang lebih kurang setahun yang lalu, jenama kami mengalami pertumbuhan yang begitu ketara yang dipacu oleh produk hebat yang dapat membantu perniagaan mencapai matlamat kemampanan dan keberuntungan.

“Kini Malaysia adalah pasaran tumpuan bagi MAN SE dan kami komited untuk membangun bersama anda,” katanya.

MAN yakin bahawa elektrik merupakan pemacu masa depan trak dan MAN eTruck yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya akan mula berada di jalan raya di Eropah dengan penyerahan trak kepada pelanggan yang dijadualkan dalam separuh tahun pertama 2024.

Walau bagaimanapun, Sitte berkata, syarikat tersebut tidak akan tergesa-gesa untuk membawanya ke Malaysia sehinggalah infrastruktur yang diperlukan serta persekitaran yang sesuai dan insentif oleh kerajaan telah tersedia.

Pengarah Urusan MAN Malaysia, Andrew O’Brooks pula berkata, syarikat sedang membangun, berkembang dan melangkah ke hadapan dengan matlamat yang jelas untuk menyediakan khidmat yang lebih baik kepada jumlah pelanggannya yang semakin meningkat.

“Ibu pejabat baharu kami di Shah Alam, yang akan dibuka secara rasminya pada Julai, kini semakin pesat. Kami baru sahaja mengeluarkan Trak MAN pertama daripada barisan pemasangan tempatan (CKD) yang baharu.

“Pusat kemudahan bersepadu ini turut menempatkan pusat servis baharu yang dapat melaksanakan servis dengan cekap bagi trak dan bas pelanggan. Kami sedang membangunkan pasukan kami dan juga menempatkan rakan sekerja dari
Kluster yang mengendalikan beberapa pasaran lain di rantau ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×