BELANJAWAN 2027 dijangka memberi penekanan lebih besar kepada reformasi tatakelola dan kecekapan pentadbiran sebagai sebahagian usaha kerajaan memperkukuh daya saing ekonomi, mengurangkan kos urus niaga serta meningkatkan keyakinan pelabur.
Belanjawan Madani kelima dan tahun kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) itu akan terus berlandaskan kerangka Ekonomi Madani dengan mengimbangi keperluan rakyat serta usaha memudah cara aktiviti perniagaan.
Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2027, reformasi tatakelola akan menjadi antara tonggak utama menerusi usaha meningkatkan keberkesanan institusi dan memastikan kemampanan fiskal, selain menaikkan siling ekonomi melalui aktiviti bernilai lebih tinggi dan pelaburan berkualiti.
“Kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha menaikkan lantai menerusi penambahbaikan taraf hidup dan perlindungan sosial bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih meluas.
“Pengurusan fiskal yang berhemat dan pengurusan ekonomi yang kukuh termasuk penambahbaikan proses perolehan kerajaan, pematuhan audit serta iltizam terhadap dasar antirasuah kekal menjadi keutamaan Kerajaan,” menurut laporan itu.
Usaha mengurangkan karenah birokrasi turut diperkasa melalui peluasan GovTech, termasuk integrasi data merentas agensi dan penyediaan perkhidmatan digital secara hujung ke hujung.
Langkah berkenaan dijangka membantu memperkemas proses pentadbiran kerajaan serta mengurangkan kos dan masa yang diperlukan oleh rakyat serta sektor perniagaan untuk berurusan dengan agensi kerajaan.
Dalam pada itu, agenda reformasi institusi akan diteruskan menerusi cadangan penggubalan beberapa perundangan penting, termasuk rang undang-undang berkaitan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dengan Pendakwa Raya, Ombudsman, kebebasan maklumat serta entiti milik kerajaan.
Menurut laporan itu, penyampaian perkhidmatan awam yang lebih telus dan cekap bukan sahaja penting dari aspek tatakelola, malah berupaya mengurangkan kos urus niaga, sekali gus memperkukuh keyakinan pelabur dan daya saing perniagaan.
Pendekatan itu turut mencerminkan usaha kerajaan memastikan pembaharuan institusi berjalan seiring dengan strategi memperkukuh asas ekonomi negara.
Dengan Belanjawan 2027 menjadi tahun kedua pelaksanaan RMK13, tumpuan terhadap tatakelola dan kecekapan institusi dijangka menjadi elemen penting dalam memastikan perbelanjaan kerajaan diterjemahkan kepada hasil pembangunan yang lebih berkesan.
Secara keseluruhannya, pendekatan itu meletakkan reformasi pentadbiran bukan sekadar sebagai agenda institusi, tetapi sebagai instrumen untuk meningkatkan kecekapan ekonomi dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif.-UTUSAN











