BELANJAWAN 2027 akan memperkukuh peranan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dengan memberi tumpuan kepada akses pembiayaan, pendigitalan serta peluang untuk syarikat tempatan menyertai rantaian bekalan pelaburan berkualiti tinggi.
Langkah itu penting bagi memastikan manfaat daripada kemasukan pelaburan strategik ke Malaysia dapat diperluas kepada lebih banyak perusahaan tempatan, sekali gus meningkatkan kapasiti, produktiviti dan keupayaan PMKS untuk beralih kepada aktiviti bernilai ditambah lebih tinggi.
Menurut laporan Belanjawan 2027, akses pembiayaan bagi PMKS yang berorientasikan eksport dan aktiviti bernilai tinggi akan terus diperkukuh menerusi program jaminan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), selain skim jaminan pascakrisis Bank Negara Malaysia-Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (BNM-CGC) bernilai RM10 bilion.
Pada masa sama, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bersama institusi kewangan dan agensi kerajaan akan menyediakan sokongan kewangan strategik bagi membantu perusahaan Bumiputera meningkatkan skala operasi serta menembusi pasaran lebih luas, sejajar dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Sokongan pembiayaan itu akan dilengkapi usaha pendigitalan melalui SME Corp Malaysia dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), bagi membantu PMKS menerima guna teknologi, meningkatkan produktiviti serta membina keupayaan dalam aktiviti ekonomi bernilai lebih tinggi.
Selain pembiayaan dan teknologi, kerajaan turut menggunakan perolehan awam, pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) serta pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan (R&D) awam sebagai saluran untuk membuka peluang baharu kepada PMKS tempatan.
Langkah itu membolehkan syarikat tempatan membina rekod prestasi, membangunkan produk dan harta intelek Malaysia serta mengembangkan operasi ke peringkat antarabangsa.
Pada masa sama, kerajaan akan memperkukuh Pusat Pemudahcaraan Pelaburan Malaysia (IMFC) bagi mempercepat proses kelulusan merentas kerajaan Persekutuan dan negeri, penyedia utiliti serta agensi teknikal.
Belanjawan 2027 turut memberi penekanan kepada mempercepatkan penerjemahan komitmen pelaburan kepada projek sebenar melalui proses selepas kelulusan yang lebih cekap dan pemantauan sepanjang kitaran hayat pelaburan.
Antara isu yang akan diberi perhatian termasuk kelulusan tanah, ketersediaan utiliti dan bekalan bakat bagi memastikan projek pelaburan dapat direalisasikan dengan lebih pantas.
Dalam perkembangan berkaitan, Kerangka Insentif Baharu (NIF) berasaskan keberhasilan akan memberi penekanan lebih besar kepada peningkatan teknologi, penciptaan pekerjaan berkualiti, pembangunan pembekal tempatan, pemindahan teknologi, R&D, pengkomersialan dan inovasi serta peningkatan produktiviti.
Kerangka itu dijangka membuka ruang lebih luas kepada syarikat dan PMKS Malaysia untuk berintegrasi dalam rantaian bekalan pelabur yang memasuki negara, sekali gus meningkatkan kesan pengganda daripada setiap pelaburan yang direalisasikan.
Keutamaan akan diberikan kepada sektor strategik termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), perkhidmatan digital, peralihan tenaga, farmaseutikal, logistik dan aeroangkasa.
Tumpuan itu selari dengan agenda pembangunan industri negara seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030.
Ia turut melibatkan hab pertumbuhan seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Kulim Hi-Tech Park dan Penang Silicon Island.-UTUSAN











