Hamper Magnalux jadi pilihan Istana, pelanggan VVIP

Hamper Magnalux jadi pilihan Istana, pelanggan VVIP

LIDYA Yacob bersama hamper keluaran Magnalux.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINAT terhadap cenderahati berhias yang dipupuk sepanjang berkhidmat di awan biru menjadi titik pemula kepada kejayaan jenama Hamper Magnalux (Magnalux) yang kini berkembang sebagai penyedia hamper premium pilihan kenamaan.

Diasaskan oleh bekas pramugari, Lidya Yacob, 44, perniagaan itu memulakan langkah pertamanya secara kecilan dengan menjual kurma di dalam kotak kayu berukir dari Jeddah yang dihias kreatif menggunakan reben dan bunga.

Lidya berkata, perkhidmatan penerbangan selama 12 tahun bersama Malaysia Airlines dan empat tahun bersama AirAsia X memberi ruang kepadanya mengumpul pelbagai idea perhiasan unik sebelum mengambil keputusan meletak jawatan pada tahun 2016 demi memberi tumpuan kepada keluarga.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selepas melepaskan kerjaya pramugari untuk menumpukan perhatian kepada dua anak, saya memulakan perniagaan dari rumah dengan memanfaatkan platform Instagram dan Facebook.

“Daripada pesanan kecil rakan-rakan dan keluarga, perniagaan ini berkembang pesat sehingga menerima tempahan daripada syarikat korporat, sekolah serta pelbagai kementerian dan agensi kerajaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Menyoroti fasa awal perniagaannya, beliau bermula dengan modal RM2,000 bagi membeli keperluan asas hamper, namun terpaksa berdepan cabaran kewangan akibat ketiadaan sistem deposit.

Pengalaman berdepan pelanggan yang membatalkan pesanan secara sesuka hati memaksa Lidya menjual hamper siap pada harga kos bagi mengelakkan kerugian barangan makanan yang mempunyai tarikh luput, sekali gus mendewasakannya untuk lebih tegas dan profesional.

Mengulas mengenai penawaran produk, Magnalux menyediakan perkhidmatan hamper tempahan khas bermula harga RM20 mengikut bajet pelanggan dengan mengimbangkan pelbagai jenis bekas, coklat premium seperti Patchi, kuih raya, serta hiasan eksklusif mengikut tema acara.

“Kos bahan mentah menyumbang kira-kira 75 peratus daripada harga keseluruhan hamper dengan anggaran keuntungan 25 peratus. Nilai utama sentuhan saya ialah kepuasan visual di mana selagi hamper itu tidak cantik di mata saya, saya tidak akan serahkan kepada pelanggan,” jelasnya.

Saban tahun, perniagaan yang telah bertapak selama 13 tahun itu meniti pelbagai pencapaian membanggakan apabila pernah menerima tempahan berskala besar daripada bekas Perdana Menteri Malaysia selama tiga tahun berturut-turut serta pihak istana di beberapa buah negeri.

Kepercayaan tersebut memberi keyakinan kepada Magnalux untuk menghasilkan hamper premium bernilai sehingga RM3,000 seunit buat golongan diraja, pembesar dan individu kenamaan (VVIP).

Bagi permintaan semasa, tempahan melonjak tinggi pada musim perayaan utama seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas daripada pelbagai entiti korporat, individu, serta ahli politik, selain acara tahunan sekolah mahupun aktiviti korporat.

Mengakui peralihan drastik daripada bekerja makan gaji kepada menguruskan perniagaan sendiri memberi kepuasan berbeza, Lidya kini menikmati kehidupan yang lebih gembira, berlapang dada, serta mempunyai masa berkualiti melihat anak-anak membesar di depan mata.

Beliau turut menasihati bakal usahawan agar memastikan minat dan komitmen menjadi asas utama sebelum menceburi mana-mana perniagaan.

“Modal yang besar tanpa minat tidak akan bertahan lama, manakala tanpa komitmen kita tidak akan berusaha keras untuk maju. Kita perlu sentiasa ikhlas dalam berniaga bagi menghasilkan produk terbaik demi kepuasan pe­langgan,” tambah­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×