KUALA LUMPUR: Yeo Hiap Seng (Malaysia) Sdn. Bhd. (Yeo’s) bekerjasama dengan Universal Products & Experiences melancarkan koleksi minuman edisi terhad bertemakan filem Minions & Monsters yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.
Kolaborasi menerusi kempen bertemakan “Bello, A Joyous Toast. Compai!” itu membawa karakter Minions yang ceria dan penuh keletah ke dalam rangkaian minuman popular Yeo’s, sekali gus menawarkan pengalaman lebih menarik kepada pengguna.
Koleksi berkenaan menampilkan empat produk kegemaran pengguna iaitu Teh Bunga Kekwa, Minuman Laici, Susu Soya Kacang Penuh dan Susu Soya Super Sprouts yang hadir dengan rekaan pembungkusan eksklusif bertemakan Minions.
Setiap rekaan menampilkan karakter Minions dengan gaya tersendiri, menjadikannya item koleksi yang menarik untuk peminat pelbagai peringkat umur.
Pengurus Kanan Pemasaran Yeo’s Malaysia, Yvonne Lam berkata, kerjasama itu bukan sekadar memperkenalkan pembungkusan baharu, malah bertujuan mencipta pengalaman yang lebih menyeronokkan kepada pengguna.
“Di Yeo’s, kami sentiasa mencari cara bermakna untuk berhubung dengan pengguna menerusi pengalaman yang mereka gemari.
“Kolaborasi Yeo’s dan Minions ini meraikan kegembiraan, nostalgia serta kebersamaan. Dengan membawa antara watak paling ikonik dunia ke dalam rangkaian minuman kami, kami berharap dapat mencipta detik istimewa untuk keluarga, menarik minat pengumpul dan menjadikan pengalaman menikmati minuman lebih menyeronokkan,” katanya.
Pelancaran kempen tersebut dimulakan menerusi penyertaan Yeo’s Malaysia pada tayangan perdana filem Minions & Monsters di Aurum Theatre, The Exchange TRX baru-baru ini.
Pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif termasuk permainan bertemakan Minions serta menjadi antara yang terawal mendapatkan pek minuman edisi khas berkenaan.
Sepanjang kempen berlangsung, Yeo’s akan mengadakan lebih 10 siri jelajah di lokasi runcit terpilih di seluruh negara dengan kerjasama rangkaian peruncit utama.
Program itu akan menampilkan pelbagai aktiviti mesra keluarga, permainan interaktif, paparan khas bertemakan Minions dan promosi pembelian yang menawarkan peluang memenangi pelbagai hadiah menarik.
Koleksi minuman edisi terhad Yeo’s Minions kini boleh didapati di pasar raya, pasar raya besar, kedai serbaneka dan premis runcit terpilih di seluruh negara sementara stok masih ada. – UTUSAN










