Tabung Haji raih dua anugerah berprestij pengurusan hartanah - Utusan Malaysia

Tabung Haji raih dua anugerah berprestij pengurusan hartanah

PENGARAH Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad (barisan depan, empat dari kiri) bersama kakitangan TH dan Kumpulan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) meraih dua anugerah berprestij sempena The Edge Malaysia Best Managed & Sustainable Property Awards (BMSPA) 2026 menerusi dua hartanah ikoniknya, Menara TH Tun Razak dan Menara Bank Islam.

Menerusi anugerah berkenaan, Menara TH Tun Razak dinobatkan sebagai pemenang kategori Bangunan Pejabat Bukan Strata, manakala Menara Bank Islam memenangi kategori Bangunan Pejabat Milikan Tunggal dalam Pembangunan Strata Bercampur.

Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen TH dalam mengurus aset secara profesional, berintegriti dan mampan, sekali gus memastikan aset yang diamanahkan terus menjana nilai kepada lebih 9.8 juta pendeposit.

“Dua pengiktirafan ini bukan sekadar mengiktiraf kecemerlangan pengurusan bangunan, malah mencerminkan komitmen TH dalam memenuhi standard terbaik dalam segala apa yang dilakukan.

“Sebagai institusi yang mengurus amanah umat Islam, setiap aset perlu dipelihara sebaiknya agar terus memberi manfaat kepada para pendeposit, masyarakat dan negara untuk jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

Anugerah berprestij itu mengiktiraf usaha berterusan TH dalam mengurus dan memperkasakan aset hartanah secara profesional, inovatif dan mampan selaras dengan tadbir urus terbaik serta komitmen terhadap nilai jangka panjang.

Kedua-dua bangunan ikonik tersebut diuruskan oleh anak syarikat milikan penuh TH, iaitu TH Properties Sdn. Bhd.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, pengiktirafan tersebut turut mengukuhkan komitmen TH untuk terus mempertingkatkan pengurusan aset berteraskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) menerusi penggunaan teknologi dan inovasi.

“Menara TH Tun Razak yang menjadi mercu tanda ibu negara sejak 1985 terus diperkasakan melalui pelbagai inisiatif penambahbaikan, termasuk sistem parkir tanpa tunai berasaskan pengecaman nombor pendaftaran kenderaan serta perancangan pemasangan sistem solar di bawah Pelan Pengurusan Aset Lima Tahun,” katanya. 

Sementara itu, Menara Bank Islam menunjukkan kecemerlangan menerusi penyelenggaraan proaktif dan penggunaan sistem pengurusan penyelenggaraan berkomputer i-MANS yang meningkatkan kecekapan operasi serta mempercepatkan masa respons.

Pendekatan pengurusan berkesan itu turut menyumbang kepada pengurangan penggunaan tenaga sebanyak 6.6 peratus berbanding garis asas tenaga yang diselaraskan menerusi sistem automasi bangunan dan pengoptimuman operasi penyaman udara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN