Sektor utiliti dijangka kekal positif pada separuh kedua

Sektor utiliti dijangka kekal positif pada separuh kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: TA Securities Holdings Berhad mengekalkan pendirian ‘overweight’ terhadap sektor utiliti bagi separuh kedua 2026, didorong pembinaan kapasiti penjanaan kuasa berasaskan gas baharu dan infrastruktur bekalan gas.

Firma pembrokeran berkata, pendirian tersebut turut dipacu oleh pengembangan perbelanjaan modal (capex) grid untuk menampung peralihan tenaga.

Katanya, konflik Iran turut menjadi pemangkin kepada usaha mempelbagaikan campuran bahan api dalam sistem penjanaan elektrik, mempercepatkan penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) serta memperbaharui fokus terhadap pembangunan ASEAN Power Grid.

“Konflik tersebut turut berpotensi mengalihkan sebahagian pelaburan pusat data dari Asia Barat ke rantau lain, sekali gus menjadi pemacu permintaan baharu bagi sektor utiliti di Malaysia.

“Perang Iran turut mewujudkan hikmah kepada sektor TBB. Kenaikan kos penjanaan elektrik akibat harga bahan api yang lebih tinggi, termasuk arang batu dan gas Tahap 2, menjadikan tenaga boleh baharu lebih kompetitif dan mampu merangsang permintaan sebagai alternatif yang lebih murah kepada pengguna,” katanya dalam nota penyelidikan.

TA Securities berkata, permintaan terhadap tenaga solar kediaman juga dijangka meningkat susulan pelancaran inisiatif Sustainable Rebate & Incentive Assistance (SuRIA) Home yang bermula pada 1 Jun lalu.

Menurutnya, di bawah program itu, pengguna domestik yang memasang sistem solar menerusi Solar Accelerated Transition Action Program (Solar ATAP) sebelum 31 Disember 2026 layak menerima rebat RM600 bagi setiap 1kWac pemasangan sehingga maksimum RM3,000 atau 5kWac, tertakluk kepada konsep siapa cepat dia dapat.

Firma berkata, dengan peruntukan keseluruhan RM150 juta, program SuRIA dijangka menyokong pemasangan sehingga 250MWac sistem solar kediaman dan mempercepatkan kadar penggunaan solar atas bumbung walaupun kadar rebatnya lebih rendah berbanding skim SolaRIS sebelum ini.

“Kami mengekalkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) sebagai pilihan utama sektor dengan saranan ‘beli’ dan harga sasaran (TP) sebanyak RM18.00 sesaham, diikuti Samaiden Group Bhd (RM1.96) dan Malakoff Corporation Bhd (RM1.26).

“Bagi subsektor air, kami menjangkakan Ranhill Utilities Bhd (RM2.71) mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan berkaitan pembangunan pusat data dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), manakala Petronas Gas Bhd (RM19.42) sebagai proksi utama bagi pengembangan infrastruktur bekalan gas domestik untuk menyokong kapasiti penjanaan baharu,” jelasnya.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN