Samsung Galaxy A27 5G bawa paparan imersif

Samsung Galaxy A27 5G bawa paparan imersif

SAMSUNG Galaxy A27 5G baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMSUNG Electronics Co., Ltd memperkenalkan Galaxy A27 5G, telefon pintar baharu dalam siri Galaxy A dengan pelbagai penambahbaikan dari segi paparan, prestasi, ketahanan dan kecerdasan buatan (AI), sekali gus menyasarkan pengguna yang mahukan pengalaman premium pada harga lebih mampu milik.

Meneruskan legasi Galaxy A26 5G, model terbaharu itu hadir dengan paparan Super AMOLED 6.7 inci bersama kadar segar semula 120Hz yang menawarkan pengalaman tontonan lebih lancar dan imersif.

Samsung turut memperkenalkan reka bentuk Infinity-O yang dinaik taraf menerusi penggunaan kamera hadapan jenis punch-hole yang lebih kecil, selain bezel yang lebih nipis bagi memaksimumkan ruang paparan.

Dari segi reka bentuk, Galaxy A27 5G mengekalkan profil yang langsing dengan ketebalan hanya 7.8 milimeter (mm), menjadikannya selesa digunakan sepanjang hari.

Bagi memastikan peranti lebih tahan lasak dalam penggunaan harian, Samsung melengkapkan Galaxy A27 5G dengan perlindungan Gorilla Glass Victus+, yang membantu mengurangkan risiko calar dan kerosakan akibat penggunaan biasa.

Di bawah hud, telefon pintar itu dikuasakan cip Snapdragon 6 Gen 3 Mobile Platform yang menawarkan prestasi lebih responsif untuk pelbagai tugasan, termasuk penstriman kandungan, permainan mudah alih dan penggunaan berbilang aplikasi secara serentak.

Samsung berkata, peningkatan pada prestasi grafik dan penggunaan memori berkelajuan tinggi turut menyumbang kepada pengalaman yang lebih lancar serta cekap tenaga.

“Dari aspek fotografi, Galaxy A27 5G dilengkapi kamera hadapan 12 megapiksel (MP) yang mampu menangkap julat pencahayaan lebih luas dan warna yang lebih kaya, menghasilkan swafoto yang kelihatan lebih semula jadi dalam pelbagai keadaan cahaya.

“Seiring perkembangan teknologi AI, Samsung turut memperluaskan fungsi kecerdasan buatan dalam peranti itu menerusi beberapa ciri yang ditambah baik.

“Antaranya ialah Circle to Search dengan Google, yang kini membolehkan pengguna mengenal pasti dan mencari beberapa objek dalam satu imej secara serentak, termasuk pakaian dan aksesori,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, ciri tersebut turut membolehkan pengguna mencuba pakaian secara maya terus daripada hasil carian.

Samsung berkata, fungsi Object Eraser yang dipertingkatkan memudahkan pengguna membuang objek yang tidak diingini dalam gambar dengan hasil suntingan yang lebih kemas dan semula jadi.

“Bagi meningkatkan produktiviti, ciri Voice Transcription dalam aplikasi Voice Recorder kini mampu menterjemah kandungan audio ketika proses transkripsi dijalankan, menyokong sehingga 22 bahasa.

“Galaxy A27 5G turut menyokong pilihan pembantu AI seperti Google Gemini dan Perplexity, selain integrasi lebih mendalam dengan aplikasi Galaxy termasuk Gallery.

“Samsung juga memperkenalkan Bixby sebagai ejen peranti berasaskan perbualan, membolehkan pengguna mengawal tetapan dan fungsi telefon menggunakan arahan bahasa semula jadi,” ujarnya.

Dalam usaha memanjangkan jangka hayat penggunaan peranti, Samsung menawarkan sehingga enam generasi kemas kini Android OS dan One UI, bersama enam tahun kemas kini keselamatan.

Tambahnya, Galaxy A27 5G juga dilindungi oleh Samsung Knox Vault, yang menyediakan perlindungan berasaskan perkakasan untuk data sensitif pengguna.

Sempena pelancarannya di Malaysia sehingga 21 Julai ini, pelanggan turut boleh menikmati rebat sehingga RM100 menerusi tawaran Double Storage Upgrade, sarung telefon percuma serta diskaun 10 peratus untuk beberapa peranti ekosistem Galaxy terpilih apabila dibeli bersama Galaxy A27 5G.

Galaxy A27 5G ditawarkan dalam pilihan warna hitam, biru gelap dan merah jambu muda.

Varian 8GB RAM dengan 256 gigabait (GB) storan dijual pada harga pelancaran RM1,499 dengan harga rebat diturunkan kepada RM1,399 menerusi promosi pelancaran, manakala varian 8GB RAM dengan 128GB storan ditawarkan pada harga RM1,399. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN