Petronas bekal LNG kepada Shizuoka Gas selama tujuh tahun - Utusan Malaysia

Petronas bekal LNG kepada Shizuoka Gas selama tujuh tahun

ADIF Zulkifli (tiga dari kiri) bersama Wakil Pengarah merangkap Presiden, Shizuoka Gas, Yoshitake Matsumoto (tiga dari kanan) selepas majlis menandatangani Perjanjian Jual Beli Gas Asli Cecair (LNG) antara Petronas LNG Ltd. (PLL) dan Shizuoka Gas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas LNG Ltd. (PLL) menandatangani Perjanjian Jual Beli Gas Asli Cecair (LNG) baharu dengan Shizuoka Gas Co., Ltd. (Shizuoka Gas) bagi membekalkan kira-kira 0.84 juta tan metrik (MMT) LNG untuk tempoh tujuh tahun bermula pada 2032.

Perjanjian itu memperkukuh kerjasama yang telah terjalin selama tiga dekad antara kedua-dua syarikat, di samping mengukuhkan komitmen bersama dalam meningkatkan jaminan keselamatan tenaga jangka panjang.

Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim Petronas, Datuk Adif Zulkifli berkata, perjanjian itu mencerminkan hubungan yang dibina atas dasar kepercayaan, pertumbuhan bersama dan kerjasama yang terus berkembang seiring perubahan landskap tenaga sepanjang 30 tahun lalu.

“Kami menghargai hubungan kukuh yang telah dibina bersama Shizuoka Gas dan berharap dapat memperluaskan lagi kerjasama ini pada masa hadapan.

“Ketika keperluan pelanggan semakin dinamik, Petronas kekal komited menyediakan penyelesaian LNG yang boleh dipercayai dan fleksibel menerusi portfolio global kami.

“Ia sekali gus menyokong keselamatan tenaga jangka panjang sambil memacu peralihan tenaga yang pragmatik dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, menerusi portfolio LNG global yang pelbagai, perjanjian itu menawarkan fleksibiliti serta kebolehpercayaan bekalan yang lebih tinggi bagi memenuhi keperluan tenaga Shizuoka Gas yang semakin berkembang dalam persekitaran pasaran yang sentiasa berubah.

Katanya, perjanjian tersebut turut mencerminkan peningkatan permintaan terhadap penyelesaian bekalan LNG yang lebih fleksibel apabila pelanggan semakin menitikberatkan daya tahan serta jaminan keselamatan tenaga dalam landskap tenaga global yang dinamik.

Dalam pada itu, majlis berkenaan turut menandakan ulang tahun ke-30 penghantaran kargo LNG pertama Petronas kepada Shizuoka Gas, sekali gus meraikan hubungan strategik yang berkembang seiring pertumbuhan pasaran LNG Jepun serta perubahan keperluan tenaga negara itu.

Bersandarkan kepercayaan yang dibina sepanjang tiga dekad lalu, Shizuoka Gas dan Petronas berhasrat memperkukuh kerjasama melangkaui hubungan tradisional antara penjual dan pembeli LNG dengan meneroka peluang dalam usaha penyahkarbonan di sepanjang rantaian nilai LNG.

Sebagai antara pembekal LNG terkemuka dunia, Petronas akan terus memanfaatkan portfolio LNG globalnya yang bersepadu dan pelbagai bagi menyediakan penyelesaian tenaga yang diyakini pelanggan di seluruh dunia.

Ia turut akan menyokong keselamatan tenaga serta memudah cara peralihan tenaga yang bertanggungjawab. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN