Permintaan pusat data pacu pertumbuhan tenaga boleh baharu 

Permintaan pusat data pacu pertumbuhan tenaga boleh baharu 

MALAYSIA menjadi pilihan syarikat teknologi gergasi untuk pelaburan pusat data sejak kebelakangan ini.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor tenaga boleh baharu (TBB) Malaysia dijangka meneruskan momentum pertumbuhannya pada separuh kedua 2026, disokong oleh peningkatan aktiviti kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek solar dan penggunaan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) yang semakin meluas.

Hong Leong Investment Bank Research berkata, pertumbuhan tersebut juga disokong oleh pertambahan permintaan daripada pusat data.

Katanya, Malaysia berada di landasan untuk mencapai sasaran kapasiti terpasang TBB sebanyak 32 peratus tahun ini, sekali gus mengukuhkan momentum ke arah sasaran jangka panjang di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) iaitu 35 peratus menjelang 2030 dan 70 peratus menjelang 2050.

Menurutnya, penganugerahan projek bergerak lebih perlahan pada separuh pertama 2026 berikutan pendekatan lebih berhati-hati dalam kalangan pemaju susulan ketidaktentuan geopolitik dan turun naik harga bahan mentah di peringkat huluan.

“Bagaimanapun, prospek sektor itu kini semakin jelas dan menjangkakan aktiviti projek akan kembali rancak pada separuh kedua tahun ini, disokong oleh pelaksanaan projek yang sedang berjalan serta penyerahan projek baharu yang dijadualkan.

“Perkembangan pesat projek pusat data di Malaysia akan terus menjadi pemacu struktur utama kepada permintaan terhadap TBB.

“Bagaimanapun, kadar penyertaan yang masih perlahan dalam Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) mengehadkan daya tarikan komersial skim berkenaan berikutan Caj Akses Sistem (SAC) yang tinggi serta tidak menentu,” katanya dalam nota penyelidikan.

Menurut firma, keadaan itu mengukuhkan keperluan untuk penambahbaikan dasar, khususnya melalui penyelarasan semula kadar SAC bagi meningkatkan kebolehbiayaan projek di bawah CRESS dan mempercepatkan penggunaan skim tersebut dalam kalangan pemain industri.

HLIB Research menjangkakan tumpuan terhadap penambahbaikan dasar akan meningkat pada separuh kedua 2026, dengan kemungkinan penyelarasan semula SAC menjadi pemangkin utama kepada penilaian semula TBB.

Bank pelaburan menjangkakan harga modul fotovoltaik (PV) solar kekal stabil sehingga penghujung 2026 walaupun berdepan tekanan kos sejak kebelakangan ini.

Ujarnya, keputusan China menarik balik rebat cukai nilai tambah (VAT) eksport sebanyak sembilan peratus bagi produk PV pada April lalu menyebabkan harga modul meningkat antara lapan hingga 9.6 peratus sejak awal tahun.

“Namun begitu, lebihan bekalan secara struktur dijangka menjadi faktor utama yang menentukan hala tuju harga dalam jangka panjang.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan harga modul solar kekal dalam lingkungan AS$0.11 (40 sen) hingga AS$0.12 (48 sen) bagi setiap watt dalam tempoh terdekat,” katanya.

HLIB Research berkata, kestabilan harga modul akan membantu meningkatkan kepastian kos kepada pemaju dan kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), namun fasa pertumbuhan seterusnya dijangka lebih banyak dipacu oleh penggunaan BESS.

Tambahnya, peralihan ke arah penyimpanan tenaga berskala grid semakin pesat selepas Suruhanjaya Tenaga menganugerahkan kapasiti 400 megawatt (MW) atau 1,600 megawatt-jam (MWh) di bawah program MyBeST tahun lalu, selain pembangunan kemudahan 100MW/400MWh oleh Sabah Electricity di Lahad Datu.

Semua projek TBB utama dijangka memerlukan kemudahan penyimpanan tenaga, sekali gus mendorong pemaju mempercepatkan pembelian bateri pada separuh kedua tahun ini sebelum China menamatkan rebat VAT eksport bagi produk bateri bermula 1 Januari 2027. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN