Konflik Asia Barat dorong harga minyak melepasi AS$90 setong - Utusan Malaysia

Konflik Asia Barat dorong harga minyak melepasi AS$90 setong

HARGA minyak mentah global kembali ke paras AS$90 setong ekoran konflik di Asia Barat yang semakin meruncing. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak mentah dunia kembali melonjak melepasi paras AS$90 setong (RM367.96) susulan peningkatan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang mencetuskan kebimbangan terhadap gangguan bekalan global. 

Pensyarah Kanan, Sekolah Perakaunan dan Kewangan, Sekolah Perniagaan Taylor, Fakulti Perniagaan dan Undang-undang, Universiti Taylor, Dr. Paul Anthony Maria Das berkata, pasaran kini meletakkan premium risiko geopolitik yang lebih tinggi berikutan ancaman terhadap kemudahan pengeluaran minyak, kapal dagang serta laluan penghantaran strategik seperti Selat Hormuz.

“Walaupun bekalan minyak masih belum terjejas sepenuhnya, jangkaan bahawa konflik boleh menjadi lebih buruk sudah memadai untuk mendorong kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa.

“Selat Hormuz yang mengendalikan sebahagian besar penghantaran minyak dunia kekal menjadi tumpuan utama. Sebarang gangguan terhadap laluan tersebut berpotensi menjejaskan bekalan minyak dari negara-negara Teluk. 

“Walaupun selat itu tidak ditutup sepenuhnya, peningkatan kos insurans, keselamatan dan operasi penghantaran kapal sudah cukup untuk meningkatkan harga minyak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, kenaikan harga minyak berpotensi menjadi sementara sekiranya konflik dapat dikawal dalam tempoh terdekat. 

“Namun sekiranya ketegangan terus berlarutan sehingga mengganggu rantaian bekalan tenaga, harga minyak dijangka kekal tinggi untuk beberapa bulan akan datang.

“Di Malaysia, kenaikan harga minyak dijangka memberi tekanan kepada inflasi melalui peningkatan kos pengangkutan, logistik dan pengeluaran. 

“Walaupun subsidi bahan api dapat mengurangkan sebahagian impak kepada pengguna, tekanan inflasi boleh menjadi lebih meluas jika harga minyak global terus meningkat.Kos sara hidup rakyat juga dijangka terjejas apabila harga makanan, pengangkutan dan pelbagai perkhidmatan meningkat. Golongan berpendapatan rendah dan sederhana dijangka menerima kesan paling ketara apabila kuasa beli semakin berkurangan,” katanya.

Di pasaran modal, kenaikan harga minyak lazimnya memberi manfaat kepada saham sektor minyak dan gas berikutan prospek pendapatan yang lebih kukuh. 

Sebaliknya, sektor penerbangan, logistik, pengangkutan, pembuatan dan barangan pengguna dijangka berdepan tekanan akibat peningkatan kos operasi serta risiko penyusutan permintaan.

“Sekiranya harga minyak Brent kekal melebihi AS$90 setong, saham syarikat minyak dan gas dijangka terus mencatat prestasi positif. 

“Walau bagaimanapun, prestasi sebenar masih bergantung kepada asas kewangan syarikat, nilai kontrak, kos operasi serta margin keuntungan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, lonjakan harga minyak mentah dunia yang melepasi paras AS$90 setong mencerminkan peningkatan kebimbangan pasaran terhadap keselamatan bekalan global, apabila risiko geopolitik kini menjadi pemacu utama pergerakan harga berbanding faktor asas permintaan dan penawaran.

Katanya, pasaran kini meletakkan premium risiko geopolitik yang lebih tinggi susulan ketegangan di Asia Barat yang berpotensi mengganggu rantaian bekalan minyak dunia.

“Antara faktor utama yang mendorong kenaikan harga ialah peningkatan konflik di Asia Barat, risiko terhadap laluan strategik Selat Hormuz, pengurangan pengeluaran oleh OPEC+, permintaan yang masih kukuh terutama dari Asia serta aktiviti spekulatif dalam pasaran niaga hadapan,” katanya.

Menurut Barjoyai, kenaikan harga minyak ketika ini bukan semata-mata disebabkan kekurangan bekalan sebenar, sebaliknya dipengaruhi jangkaan bahawa bekalan boleh terganggu pada bila-bila masa sekiranya konflik semakin meruncing.

“Selain itu, turun naik harga minyak juga tidak dapat dipisahkan daripada strategi perdagangan komoditi global. 

“Beratus-ratus kapal tangki minyak yang beroperasi di lautan dunia membolehkan pedagang melaksanakan urus niaga dengan pantas, termasuk melalui aktiviti jualan singkat , bagi mengambil kesempatan daripada perubahan harga. 

“Perkembangan geopolitik dan ekonomi semasa sering dijadikan asas kepada perubahan sentimen pasaran, sama ada untuk menaikkan atau menurunkan harga minyak,” katanya. 

Selain itu, di Bursa Malaysia, impak kenaikan harga minyak dijangka bercampur. 

“Syarikat dalam sektor minyak dan gas, tenaga serta perkhidmatan petroleum lazimnya memperoleh manfaat daripada peningkatan harga minyak melalui prospek keuntungan yang lebih baik.

“Sebaliknya, sektor penerbangan, logistik, pengangkutan dan pembuatan yang bergantung kepada penggunaan tenaga secara intensif dijangka berdepan peningkatan kos operasi.

“Sehubungan itu, prestasi keseluruhan Bursa Malaysia bergantung kepada sejauh mana keuntungan sektor tenaga mampu mengimbangi kelemahan sektor-sektor lain yang terkesan akibat kenaikan kos,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN