Jenayah scam cecah RM430 juta dalam tiga bulan pertama - Utusan Malaysia

Jenayah scam cecah RM430 juta dalam tiga bulan pertama

ARMIZAN MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian (scam) terus mencatatkan peningkatan membimbangkan apabila mencecah RM430 juta dalam tempoh tiga bulan pertama 2026, sekali gus menunjukkan ancaman itu masih berterusan pada tahap tinggi.

Berdasarkan data kerajaan, trend kerugian scam menunjukkan peningkatan ketara apabila merekodkan RM1.57 bilion pada 2024 melibatkan 35,368 kes, sebelum melonjak kepada RM2.97 bilion pada 2025 dengan 66,204 kes.

Secara keseluruhan, jumlah kerugian bagi tempoh 2024 hingga 2025 telah melebihi RM4.54 bilion.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkembangan itu menunjukkan ancaman scam kini berada pada tahap yang semakin membimbangkan.

Beliau berkata, bagi memperkukuh tindakan menangani jenayah berkenaan, kerajaan menubuhkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) bagi membolehkan tindakan pantas diambil untuk menyelamatkan wang mangsa serta menyelaras respons pelbagai agensi.

“Kerajaan percaya keyakinan pengguna merupakan asas kepada pertumbuhan e-dagang. Apabila pengguna yakin dan selamat berbelanja, platform akan berkembang dan penjual turut menerima manfaat melalui peningkatan jualan.

“Kerajaan komited memperkukuh ekosistem e-dagang kerana sektor ini menyediakan peluang besar kepada semua pihak. Usaha menangani kos sara hidup juga tidak hanya tertumpu kepada kawalan harga,” katanya pada Sidang Kemuncak Penjual Shopee 2026 dan Kempen Jom Beli Selamat di sini.

Sementara itu, data yang dibentangkan menunjukkan jumlah aduan transaksi dalam talian mencatatkan trend turun naik antara 2021 hingga 2025.

Sebanyak 11,463 aduan direkodkan pada 2021 (41.73 peratus), menurun kepada 8,847 aduan pada 2022 (30.23 peratus), namun meningkat kepada 14,441 kes pada 2023 (33.31 peratus) sebelum menurun kepada 10,488 kes pada 2024 (22.20 peratus) dan 8,475 kes pada 2025 (18.49 peratus).

Beliau berkata, sektor e-dagang telah berkembang pesat dan menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), nilai pendapatan e-dagang meningkat daripada RM1.1 trilion pada 2021 kepada RM1.13 trilion pada 2024, dan dijangka mencecah RM1.3 trilion pada 2025.

“Perkembangan ini menunjukkan sumbangan besar sektor e-dagang kepada ekonomi negara,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kementerian juga telah mencadangkan kerangka perundangan baharu bagi menggantikan Akta Perdagangan Elektronik 2006 (Akta 658) sedia ada yang hanya bersifat perundangan pemudah cara (enabling legislation).

“Cadangan dasar ini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada minggu depan dengan 10 cadangan utama yang akan diperhalusi sebelum dibawa ke Jabatan Peguam Negara untuk penggubalan undang-undang baharu.

“Dasar ini merangkumi tiga komponen utama, iaitu kerangka, skop dan kesahan undang-undang, tanggungjawab pemain industri dan pengguna serta kuasa penguatkuasaan dan penalti.

“Antara lain, ia turut melibatkan cadangan penalti maksimum sehingga RM10 juta, kuasa penyiasatan dan pemeriksaan kepada pihak berkuasa, akses kepada siasatan serta penggeledahan digital, selain fleksibiliti pelaksanaan peraturan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN