KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara (IJN) dan Batik Air Malaysia (Batik Air), dengan sokongan Tourism Malaysia melancarkan kerjasama strategik bagi memacu penjagaan jantung, penjagaan pencegahan serta memperkukuh ekosistem pelancongan perubatan negara.
Kerjasama yang bermula 1 Mei 2026 sehingga 30 April 2027 itu menggabungkan ketersambungan udara Batik Air dengan kepakaran klinikal bertaraf dunia yang ditawarkan oleh IJN selaku pusat jantung nasional.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Ezani Md Taib berkata, sebagai pusat jantung nasional, tanggungjawab IJN adalah melangkaui rawatan perubatan dengan memainkan peranan penting dalam menggalakkan pencegahan dan pengesanan awal.
“Menerusi kerjasama dengan Batik Air ini, kami berharap dapat menggalakkan lebih ramai pengembara dan orang awam untuk mengambil langkah proaktif dalam memahami kesihatan jantung mereka sebelum gejala dikesan.
“Langkah ini sekali gus menyokong peranan IJN dalam menyediakan penjagaan pakar bagi pesakit dari dalam dan luar negara, sekali gus memberikan keselesaan tambahan kepada keluarga yang mengiringi mereka,” katanya semasa sidang media selepas majlis permeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara IJN dan Batik Air di sini, semalam.
Di bawah kempen ‘Fly High with a Healthy Heart’, IJN menawarkan diskaun eksklusif 15 peratus untuk Pakej Saringan Kesihatan Essential kepada penumpang antarabangsa Batik Air pada harga RM765 selepas diskaun, dengan hanya mengemukakan pas masuk yang sah.
Selain itu, IJN turut memberikan diskaun 20 peratus bagi Pakej Saringan Jantung Premier untuk 1,000 penumpang antarabangsa terawal pada kadar RM1,760, yang merangkumi penilaian kardiovaskular lanjutan, pengimejan abdomen, kaunseling pemakanan dan rundingan pakar kardiologi.
Mengulas lanjut, Mohamed Ezani berkata, penawaran diskaun 20 peratus itu sememangnya terbuka kepada semua penumpang antarabangsa, namun penumpang Batik Air bakal menikmati kelebihan eksklusif seperti laluan khas dan perhatian khusus hasil daripada jalinan kerjasama berkenaan.
“Kami melayan mereka umpama penumpang kelas perniagaan sebaik sahaja tiba di sini. Malah, menerusi MoU ini, kami sudah merancang untuk menyediakan kemudahan tambahan seperti menaik taraf gred bilik atau katil pesakit,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan kesihatan utama di rantau ini apabila merekodkan sekitar 1.85 juta pelancong kesihatan pada tahun 2025 dengan penjanaan perolehan RM3.35 bilion.
“Di peringkat ASEAN, Thailand kekal menerajui pasaran dengan menerima lebih tiga juta pelancong perubatan setahun. Perkembangan ini mencerminkan hubungan erat antara penjagaan kesihatan dan ketersambungan udara dalam memudahkan pesakit mengakses rawatan merentas sempadan,” katanya.
Tambah beliau, menerusi inisiatif ini, syarikat menyasarkan pasaran serantau yang berpotensi besar dengan Indonesia menjadi sasaran paling mudah didekati untuk memacu pasaran pelancongan perubatan negara.
“Selain Indonesia yang menjadi sasaran utama, kami juga melihat pasaran seperti Kemboja, malah Thailand sendiri menyumbang kepada aliran trafik pelancong yang datang ke sini untuk tujuan pelancongan dan pelancongan perubatan. Pada masa yang sama, Bangladesh merupakan satu lagi contoh terbaik bagi pasaran yang berpotensi besar ini,” tambahnya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, pengiktirafan Malaysia dalam kelompok enam destinasi pelancongan perubatan terbaik dunia bagi tahun 2026 membuktikan keutuhan ekosistem kesihatan negara.
“Sempena kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dan Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026 (MYMT2026), pelancongan perubatan dan kesejahteraan kekal menjadi segmen pasaran penting yang kami promosikan secara agresif bersama Majlis Keselamatan Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC),” katanya. – UTUSAN










