PETALING JAYA: HSBC mengekalkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia pada 4.5 peratus bagi tahun ini dengan inflasi domestik tidak dianggap berisiko tinggi susulan sokongan subsidi yang membantu menstabilkan harga petrol.
Ketua Pegawai Pelaburan, Asia, Perbankan Swasta dan Kekayaan Premier HSBC, Desmond Kuang berkata, KDNK Malaysia mencatat pertumbuhan 5.4 peratus tahun ke tahun pada suku pertama, lebih rendah berbanding kadar melebihi 6.0 peratus yang direkodkan pada suku keempat 2025.
Menurutnya, bank melihat penurunan itu sebagai proses normalisasi selepas suku yang luar biasa kukuh, dan bukannya kehilangan momentum secara keseluruhan.
“Dari segi persekitaran luar, konflik di Asia Barat yang berpanjangan menekankan manfaat negara sebagai pengeksport bersih tenaga.
“Walaupun Malaysia kekal sebagai pengimport bersih minyak mentah, negara juga merupakan pengeksport utama gas asli, sekali gus meletakkan kedudukan yang agak baik dalam persekitaran semasa.
“Walaupun berdepan turun naik persekitaran global, pertumbuhan KDNK yang berdaya tahan serta pendapatan korporat yang stabil terus menyokong pasaran ekuiti Malaysia.
“Kami menjangkakan risiko lebih seimbang dan mengekalkan pendirian neutral,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan Global, Perbankan Swasta dan Kekayaan Premier HSBC, Willem Sels berkata, kecerdasan buatan (AI), tenaga dan keselamatan dijangka menerajui gelombang pelaburan strategik seterusnya, selain memperkukuh pertumbuhan ekonomi dan pendapatan korporat global.
Menurutnya, peningkatan persaingan global serta keutamaan terhadap keselamatan negara telah mewujudkan keperluan lebih mendesak bagi pendanaan, sokongan dasar dan aktiviti pasaran modal.
“Bank juga menjangkakan peranan lebih besar dimainkan oleh pasaran swasta dalam merapatkan jurang pembiayaan pelaburan.
“Dalam Tinjauan Pelaburan Suku Ketiga 2026, Perbankan Swasta HSBC kekal optimistik terhadap daya tahan ekonomi global serta menjangkakan turun naik pasaran masih dapat diurus buat masa ini,” katanya.
Beliau berkata, turun naik pasaran dijangka berterusan apabila pasaran global menyesuaikan diri dengan risiko dan perkembangan yang berubah pantas.
“Keutamaan ketika ini adalah untuk kekal berdisiplin dengan portfolio yang berdaya tahan serta pelbagai, yang mampu menampung ketidaktentuan jangka pendek.
“Ia pada masa sama perlu kekal peka terhadap peluang jangka panjang yang muncul daripada trend pertumbuhan berstruktur,” katanya. – UTUSAN










