PETALING JAYA: Pensijilan halal yang diperoleh Rumah Pastry pada Februari lalu membuka peluang syarikat itu memperluaskan pasaran produk makanan keluarannya ke segmen hotel, hospital dan sektor korporat.
Pengasas Star Mealz Sdn. Bhd., Shamsiah Shaikh Husin berkata, pensijilan yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu bukan sekadar memenuhi keperluan pengguna Islam, malah menjadi syarat penting untuk syarikat menembusi pasaran perniagaan-ke-perniagaan (B2B).
“Kami memohon sijil halal kerana kebanyakan pelanggan korporat seperti hotel, syarikat dan rangkaian perniagaan meletakkan pensijilan halal sebagai syarat utama untuk menjadi pembekal.
“Selepas memperoleh sijil halal pada 16 Februari lalu, keyakinan pelanggan semakin meningkat dan lebih banyak peluang perniagaan berjaya dibuka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Syarikat yang menghasilkan pelbagai produk makanan seperti kuih tradisional, kuih tradisional sejuk beku, kek, roti, pastri dan sandwic di bawah jenama Rumah Pastry itu kini memberi tumpuan untuk membekalkan produk kepada hotel-hotel sekitar Melaka, kilang serta hospital kerajaan dan swasta.
Beliau berkata, proses mendapatkan pensijilan halal memerlukan komitmen tinggi kerana syarikat perlu memastikan setiap aspek operasi memenuhi piawaian yang ditetapkan Jakim.
“Kami perlu menyediakan dokumentasi lengkap, membangunkan prosedur operasi standard (SOP) serta memastikan keseluruhan proses pengeluaran mematuhi piawaian yang ditetapkan Jakim.
“Walaupun prosesnya mengambil masa dan memerlukan komitmen, ia merupakan pelaburan yang penting untuk perkembangan perniagaan kami,” katanya.
Shamsiah berkata, syarikat juga sedang menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk sebagai persediaan menembusi rangkaian pasar raya dalam masa terdekat, sekali gus membuka peluang kepada individu yang berminat untuk menjadi ejen dan pengedar.*
“Syarikat turut merancang untuk meneroka teknologi retort sebagai langkah mengembangkan pasaran ke peringkat lebih besar, termasuk pasaran global.*
“Teknologi retort mempunyai potensi besar untuk pertumbuhan perniagaan pada masa depan dan kami berharap dapat mengembangkan operasi ke arah itu,” katanya.*
Mengimbas permulaan perniagaan, beliau berkata, syarikat bermula lebih 15 tahun lalu dengan modal sekitar RM30,000 bagi membeli mesin terpakai dan menjalankan promosi.
“Pada peringkat awal, saya menghasilkan kuih tradisional, kek dan roti untuk perniagaan F&B sendiri sebelum melihat permintaan terhadap kuih tradisional semakin meningkat.
“Hari ini, perniagaan mampu menjana pendapatan puluhan ribu sebulan hasil sambutan yang semakin menggalakkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, usahawan makanan dan minuman tidak seharusnya melihat pensijilan halal sebagai beban pematuhan semata-mata.
“Bagi usahawan makanan dan minuman, saya menggalakkan agar memohon sijil halal kerana ia dapat memenuhi keperluan pengguna Islam.
“Ia juga sekali gus menjadi nilai tambah yang meningkatkan daya saing dan potensi untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran yang lebih luas,” jelasnya. -UTUSAN










