GWM WEY G9 Hi4 PHEV: Mampu bergerak lebih 1,000km? - Utusan Malaysia

GWM WEY G9 Hi4 PHEV: Mampu bergerak lebih 1,000km?

GWM WEY G9 Hi4 PHEV: Mampu bergerak lebih 1,000km?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAMPUKAH sebuah kenderaan serbaguna (MPV) plug-in hybrid (PHEV) membawa enam penumpang dewasa bersama bagasi untuk percutian tiga hari dua malam, sambil menawarkan keselesaan mewah dan berpotensi mencapai jarak pemanduan melebihi 1,000 kilometer (km)?

Persoalan itu cuba dijawab menerusi pandu uji GWM WEY G9 Hi4 PHEV dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Lata Kertas, Dabong, Kelantan.

GWM mendakwa WEY G9 Hi4 PHEV mampu bergerak melebihi 1,000 km dengan satu tangki petrol dan bateri penuh berdasarkan kiraan NEDC. Model ini turut mendapat perhatian apabila GWM Malaysia melantik Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai duta rasminya.

Bagi melihat sendiri keupayaan MPV mewah ini dalam penggunaan sebenar, penulis mengambil kenderaan tersebut dari ibu pejabat GWM Malaysia di Menara Binjai, Kuala Lumpur sebelum memulakan perjalanan ke Lata Kertas, Dabong, Kelantan untuk percutian selama tiga hari dua malam di Chalet Adzra.

Sepanjang perjalanan itu, WEY G9 membawa enam penumpang dewasa termasuk pemandu bersama bagasi untuk penginapan tiga hari dua malam. Laluan yang dilalui merangkumi jalan bandar, lebuh raya, jalan Persekutuan, kawasan berbukit dan jalan kampung sebelum tiba di destinasi.

Prestasi meyakinkan walaupun membawa muatan penuh
Sebaik memulakan perjalanan, paparan meter menunjukkan anggaran jarak menggunakan petrol sejauh 885 km, manakala bateri penuh menawarkan jarak pemanduan elektrik sehingga 147km.

RUANG bonet belakang yang luas tidak mengganggu kelancaran perjalanan.

Ya, Wey G9 mampu bergerak menggunakan motor elektrik sepenuhnya seperti kereta EV. Walaupun membawa enam penumpang dewasa bersama bagasi, WEY G9 tidak menunjukkan tanda kekurangan kuasa.

Sistem Hi4 PHEV yang menggabungkan enjin 1.5 liter turbo bersama dua motor elektrik menghasilkan kuasa gabungan 442 PS dan tork maksimum 642 Nm. Menurut GWM, pecutan dari 0 hingga 100 km/j hanya mengambil masa 5.7 saat.

Sepanjang pemanduan di lebuh raya, proses memotong kenderaan berat dapat dilakukan dengan mudah. Begitu juga ketika melalui laluan berbukit menuju Dabong, kuasa yang disalurkan kekal lancar tanpa terasa terbeban walaupun membawa muatan penuh.

Keselesaan menjadi kekuatan utama
Jika prestasi memberikan keyakinan kepada pemandu, aspek keselesaan pula menjadi antara kelebihan terbesar WEY G9.

Ruang kabinnya luas dan memberikan keselesaan kepada semua penumpang. Tempat duduk barisan kedua dilengkapi fungsi Zero Gravity Seat, urutan badan, pengudaraan, meja lipat dan peti sejuk terbina dalam yang menjadikan perjalanan jauh lebih menyeronokkan.

Sepanjang lebih tujuh jam perjalanan menuju Dabong, tiada rungutan daripada penumpang mengenai ruang tempat duduk atau tahap keselesaan. Malah, barisan ketiga masih menawarkan ruang yang memadai untuk penumpang dewasa.

KESELESAAN maksimum dengan ruang yang luas untuk penumpang.

Tahap penebatan bunyi juga wajar dipuji kerana bunyi angin dan tayar berjaya dikurangkan dengan baik, menjadikan suasana dalam kabin lebih tenang ketika dipandu di lebuh raya.

Setibanya di Chalet Adzra di Lata Kertas, Dabong, perjalanan sejauh ratusan kilometer itu membuktikan WEY G9 bukan sekadar selesa dipandu di lebuh raya, malah kekal stabil ketika melalui jalan yang lebih sempit dan berliku menuju kawasan rekreasi berkenaan.

Beberapa perkara boleh dipertingkatkan
Walaupun secara keseluruhannya WEY G9 menawarkan tahap keselesaan yang tinggi, terdapat beberapa perkara yang pada pandangan penulis boleh diperbaiki.

Pertama, kedudukan port pengecasan USB-A dan USB-C untuk penumpang barisan ketiga terletak terlalu hampir dengan bahagian lutut. Walaupun ruang di barisan ketiga cukup luas, kedudukan port berkenaan menyebabkan kabel pengecas mudah terkena kaki atau lutut penumpang ketika duduk.

Keadaan ini agak menghairankan memandangkan WEY G9 merupakan antara MPV paling panjang dalam segmennya, malah mempunyai dimensi lebih besar berbanding Toyota Alphard dan Toyota Vellfire.

Selain itu, akses keluar dari barisan ketiga juga boleh dipermudahkan. Ketika ini, penumpang perlu menggerakkan tempat duduk barisan kedua menggunakan suis pelaras ke hadapan atau ke belakang sebelum dapat keluar.

Pada pandangan penulis, lebih praktikal jika GWM menyediakan satu butang khas pada bahagian sisi tempat duduk barisan kedua yang membolehkan penumpang di barisan ketiga mengalihkan kerusi berkenaan dengan satu sentuhan tanpa perlu meminta bantuan penumpang di barisan kedua.

Namun begitu, kedua-dua perkara ini lebih kepada aspek ergonomik dan tidak menjejaskan pengalaman keseluruhan pemanduan atau tahap keselesaan yang ditawarkan oleh WEY G9.

Bagaimana dengan penggunaan bahan api?

Selepas menempuh perjalanan sejauh 375.9km, penulis singgah mengisi petrol di sebuah stesen Petron di Gua Musang.

Ketika itu, paparan meter menunjukkan baki anggaran jarak menggunakan petrol ialah 188km, manakala baki jarak pemanduan elektrik ialah 18km.

WEY G9 dilengkapi tangki petrol berkapasiti 58 liter. Bagi perjalanan ini, sebanyak 42.138 liter petrol diisi semula dengan kos RM142.01 menggunakan petrol RON95 pada harga runcit tanpa subsidi di bawah Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI).

Berdasarkan jumlah petrol yang diisi, penggunaan bahan api bagi perjalanan berkenaan ialah 11.2 liter bagi setiap 100km atau bersamaan 8.9km bagi setiap liter.

Namun begitu, angka berkenaan tidak boleh dibandingkan secara langsung dengan kenderaan berenjin petrol konvensional kerana WEY G9 merupakan sebuah PHEV yang turut menggunakan tenaga elektrik sepanjang perjalanan.

Ujian ini juga dilakukan dengan enam penumpang dewasa bersama bagasi penuh, bukannya dalam keadaan kenderaan kosong seperti kebanyakan ujian penggunaan bahan api.

Ketika berhenti mengisi minyak, WEY G9 masih mempunyai baki anggaran jarak menggunakan petrol sejauh 188 km dan baki jarak pemanduan elektrik 18km. Ini menunjukkan masih terdapat baki tenaga yang boleh digunakan sebelum perjalanan diteruskan.

Berdasarkan pengalaman pandu uji ini, penulis belum dapat mengesahkan sama ada dakwaan jarak pemanduan melebihi 1,000km benar-benar boleh dicapai kerana kenderaan diisi semula sebelum tangki petrol digunakan sepenuhnya.

Namun, dengan enam penumpang dewasa bersama bagasi dan melalui pelbagai keadaan jalan, WEY G9 tetap memperlihatkan kecekapan yang baik sebagai sebuah MPV PHEV untuk perjalanan jarak jauh.

Selepas beberapa hari memandu GWM WEY G9 Hi4 PHEV, penulis memahami mengapa model ini diberi perhatian dalam segmen MPV mewah. Selain menawarkan ruang kabin yang luas dan pelbagai kelengkapan mewah, prestasinya juga kekal meyakinkan walaupun membawa enam penumpang dewasa bersama bagasi untuk perjalanan jarak jauh.

Harga dan promosi
Di Malaysia, GWM WEY G9 ditawarkan pada harga RM273,650 atas jalan tanpa insurans.
Bagi 1,000 pelanggan pertama, GWM turut menawarkan skrin hiburan belakang bersaiz 15.6 inci termasuk pemasangan, wallbox pengecas rumah, perkhidmatan telematik selama lima tahun dan penyelenggaraan percuma selama lima tahun termasuk alat ganti dan upah.

Pakej berkenaan turut merangkumi waranti kenderaan tanpa had perbatuan selama enam tahun, waranti bateri, motor elektrik dan unit kawalan motor elektrik selama lapan tahun atau 180,000km, selain rebat RM3,000 untuk pelanggan sedia ada GWM.

Dengan harga atas jalan tanpa insurans RM273,650, WEY G9 boleh dianggap antara MPV mewah PHEV paling berbaloi di pasaran Malaysia ketika ini.

Ruang kabin yang luas, prestasi meyakinkan, tahap keselesaan yang tinggi dan pelbagai kelengkapan mewah menjadikannya pesaing serius kepada model seperti Toyota Alphard dan Toyota Vellfire yang dijual pada harga lebih tinggi.

Bagi mereka yang mahukan sebuah MPV mewah untuk kegunaan keluarga tanpa perlu berbelanja melebihi RM300,000, GWM WEY G9 Hi4 PHEV wajar berada dalam senarai teratas untuk dipertimbangkan.

Spesifikasi Ringkas GWM WEY G9 Hi4 PHEV
Enjin: 1.5 liter turbo, empat silinder
Sistem pacuan: Plug-in Hybrid (Hi4 PHEV)
Motor elektrik: Dua motor, hadapan dan belakang
Transmisi: 4-kelajuan Dedicated Hybrid Transmission (DHT)
Pacuan: Semua roda (AWD)
Kuasa gabungan: 442 PS
Tork gabungan: 642 Nm
Pecutan 0-100 km/j: 5.7 saat
Kapasiti bateri: 44.2 kWh
Jarak pemanduan elektrik: Sehingga 170 km berdasarkan kiraan NEDC
Jarak pemanduan gabungan: Melebihi 1,000 km berdasarkan kiraan NEDC
Kapasiti tangki petrol: 58 liter
Tempat duduk: Enam dalam susunan 2+2+2
Skrin infotainmen: 14.6 inci
Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
Sistem audio: 21 pembesar suara dengan kuasa 2,440 W
Tempat duduk barisan kedua: Zero Gravity, urutan badan, pengudaraan – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN